suria

Adam: Watak ‘pondan’ sekadar beri pengajaran dalam Berek

Adam (kanan, duduk) di samping para pelakon Berek.
Adam (kanan, duduk) di samping para pelakon Berek.
Adam (kanan, duduk) di samping para pelakon Berek.

BUKAN sengaja untuk mensensasikan cerita dengan memaparkan watak ‘pondan’, namun pengarah dan produser drama bersiri Berek, Adam Hamid, 36, mempunyai sebab tersendiri.

Watak ‘pondan’ atau lelaki lembut itu dilakonkan oleh Keifli AF3 selaku Erry.

“Kami bukan sengaja hendak letakkan watak lelaki lembut itu tetapi ada pengajarannya.

“Di dalam drama itu, kita tekankan bagaimana anak seorang anggota polis itu menjadi lembut,” jelas Adam.

Cerita Adam, pada mulanya ibu dan bapa Erry mahukan seorang bayi perempuan.

“Kita juga ingin jelaskan di sini yang tidak semua lelaki lembut itu bernafsu songsang. Misalnya, Erry rapat dengan Rizman lakonan Fezrul Khan tetapi tidak bermakna mereka ini songsang.

“Selain itu, ada beberapa isu yang kita tonjolkan melalui watak lembut itu. Kalau nak tahu kena tengok drama ini,” kata Adam.

Tambah Adam, terdapat beberapa isu lain yang turut dikupas di dalam drama ini iaitu pemeliharaan ayam di dalam berek, penculikan dan lain-lain.

“Misalnya, anggota polis tidak dibenarkan membela binatang di dalam berek dan ada juga isteri polis yang ada anak tetapi seperti tiada anak sehingga mempunyai keinginan untuk menculik anak orang,” tutur pengarah yang berpengalaman di dalam bidang pengarahan dan penerbitan ini.

Selain Berek, Adam juga pernah drama bersiri popular, Bella dan terbaru slot Lagenda Julia Juli yang bakal disiarkan mulai bulan Mac termasuk menerbitkan filem Cinta Terakhir dan Bujang Senang.

Berek telah menjalani pengambaran di Berek Polis Kalumpang, Hulu Selangor. Sebanyak 95 peratus pengambaran drama ini dibuat di berek polis tersebut.

Berek merupakan drama ringan yang mampu membuatkan kaum wanita terhibur dengan telatah lucu isteri-isteri polis yang menjalani kehidupan di Berek.

Berek memaparkan pergolakan kehidupan para isteri sekumpulan polis tinggal di berek polis yang terletak di kawasan perkampungan.

Pelbagai telatah lucu dan pengajaran yang diselitkan di dalam drama yang berkonsepkan masyarakat dan kekeluargaan ini.

Jelas Adam, sebanyak 80 peratus babak di dalam drama ini menumpukan kepada kehidupan isteri-isteri polis dan selebihnya turut memfokuskan kepada anggota polis.

“Kita tidak mahukan drama ini terlalu serius dan inginkan ia nampak seperti komedi ringan.

“Tetapi dalam komedi itu kita masukkan unsur pengajaran yang berguna.

“Kita turut membuat sedikit kajian tentang polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman,” ujar Adam.

Ikuti drama lakonan Sharifah Shahira, Ani Mayuni, Hamidah Wahab, Norseha, Keifli, Roy Azman dan ramai lagi sebanyak 13 episod yang akan mula bersiaran pada 29 Januari ini, setiap Khamis, pukul 11 pagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain