suria

Iqram Cari Calon Isteri Sehingga 29 September

PETALING JAYA: Pelakon Iqram Dinzly (gambar), memberi tempoh kepada keluarganya sehingga 29 September ini untuk mencari seorang wanita sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-30 sebelum memutuskan untuk berumah tangga.

Jelas Iqram, jika sehingga tarikh itu dia tidak berjumpa dengan mana-mana wanita yang dimaksudkan, dia akan menyerahkan kepada ibu dan keluarganya untuk mencari calon pilihan mereka.

“Saya akan masuk umur yang ke 30 pada tahun ini dan sememangnya saya mahu kahwin. Jadi, saya dah beritahu ibu yang saya akan cari calon isteri pada tahun ini juga.

“Kalau ditakdirkan tak ada mana-mana wanita yang sesuai menjadi isteri saya, saya serahkan kepada ibu untuk membuat pilihan,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Rabu.

Iqram berkata, dia percaya kepada doa dan juga restu ibu walaupun ada kemungkinan calon pilihan itu bukan ciri-ciri wanita yang diidamkannya.

Jelas Iqram lagi, ibunya sudah mempunyai calon iaitu anak kepada kenalan ahli keluarga mereka tetapi Iqram masih belum membuat keputusan mengenai cadangan itu.

“Ibu ada beritahu saya nak jodohkan saya dengan seseorang tetapi saya tak bagi lagi jawapan. Biarlah sehingga tiba pada tarikh ulang tahun hari lahir saya,” katanya.

Tambah Iqram, ketika usia sedang menuju ke angka 30 tahun, dia mula merasakan sesuatu tentang masa depannya termasuk untuk mempunyai anak serta keluarga.

Tidak menafikan perasaan bimbang itu sadang menghantui diri, Iqram sedang bekerja kuat mengumpul kekayaan.

“Saya sedang memikirkan macam mana untuk meneruskan kehidupan pada masa akan datang. Takkan nak harapkan rezeki dalam bidang lakonan semata-mata? Jadi, buat masa ini saya juga merancang untuk membuka perniagaan,” katanya,

Ditanya mengenai perkembangan terbaru, Iqram memberitahu dia baru tamat penggambaran drama Wangian Firduasi iaitu kisah mengenai seorang pelajar cerdik yang mengambil jalan singkat untuk menyelesaikan masalah.

Iqram juga sedang sibuk dengan penggambaran drama Jiman dan bergandingan dengan pelakon Fryusdi Ramli iaitu sebuah drama yang berkisah mengenai kehidupan orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu Iqram juga turut bercadang mengerjakan ibadat haji selepas dua kali mengerjakan umrah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain