JIKA bercakap tentang lagu-lagu berunsurkan kerakyatan dengan melodi dan lirik puitis sudah tentu kita akan terus terbayangkan kumpulan Kembara yang cukup terkenal pada era 80-an. Bait-bait kata yang indah dan mengena pada hati pendengar seperti Gerhana, Hati Emas, Ekspres Rakyat, Kolar Biru dan Duit meninggalkan kesan mendalam dan kekal segar sehingga hari ini. Malah selepas 30 tahun nama Kembara kekal utuh sebagai sebuah kumpulan terbaik yang melakar sejarah tersendiri dalam industri muzik - fakta yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa. Berita mereka bakal mengadakan sebuah konsert yang diberi nama Konsert Hati Emas Kembara di Panggung Sari, Istana Budaya sebelum ini seperti impian menjadi kenyataan kerana Kembara sudah lama tidak muncul dalam mana-mana persembahan pentas. Kemantapan vokal M.Nasir pada Konsert Hati Emas Kembara cukup bertenaga. Konsert pembukaan pada malam Khamis lalu menjadi bukti mereka masih mempunyai bilangan peminat cukup ramai apabila kerusi di Panggung Sari penuh dengan penonton yang teruja menantikan persembahan sulung kumpulan itu. Tepat pukul 9 malam dewan bertukar gamat dengan sorakan apabila anggota kumpulan Kembara iaitu Datuk M.Nasir, A.Ali, S.Sahlan, Zoul dan Md Shah muncul di atas pentas dengan seleksi lagu seperti Ekspres Rakyat, Impian Anak Jalanan, Siapa orang Kita dan Sesat Kuala Lumpur. Energi luar biasa M. Nasir selaku vokalis utama pada awal segmen cukup mengagumkan serta pengawalan vokal yang cukup baik membuatkan penonton bersorak setiap kali selesai persembahan. Konsert pada malam itu turut diiringi oleh 12 pemuzik dan empat penyanyi latar dan secara keseluruhannya Kembara menyampaikan 27 buah lagu pada malam itu. S.Sahlan turut menyampaikan beberapa buah lagu pada malam itu. Tidak membiarkan penonton menunggu lama, persembahan pada malam itu diteruskan lagu Perjuangan, Senandung Buruh dan Kasar sebelum S.Sahlan tampil mendendangkan lagu Impian Seorang Nelayan. A.Ali turut menyampaikan dua buah lagu Di Perehentian Puduraya dan Ada Sepasang Mata manakala Zoul dengan Bas No 13. Sebagaimana M.Nasir, vokal ahli kumpulan lain sama mantap disamping keghairahan mereka yang sudah lama tidak beraksi dalam sebuah konsert. M.Nasir turut berkongsi perjalanan mereka terutama di awal kemunculan sebagai penyanyi di Malaysia selain cuba berjenaka dengan penonton tentang beberapa kisah menarik tentang Kembara. Kemantapan A.Ali bermain gitar sambil menyanyi menyerlah. Kembara meneruskan persembahan dengan mendendangkan lagu wajib mereka seperti Malam, Oh Bulan, Kiambang sebelum dewan bertukar gamat apabila lagu Keroncong untuk Ana dan Kepadamu Kekasih diperdengarkan. Barangkali ia saat paling indah dalam konsert berkenaan kerana kedua-dua lagu berkenaan disampaikan M.Nasir dengan penuh penghayatan sehingga berjaya menyentuh perasaan penonton. Tidak membiarkan penonton terbuai terlalu lama dengan lagu balada, M.Nasir kembali bertenaga dengan menyampaikan lagu rancak seperti Kutu, Duit, Hati Emas sebelum mengakhiri persembahan dengan Gerhana. Kepuasan menonton Kembara di atas pentas dengan barisan ahli asal kumpulan itu ternyata suatu pengalaman menakjubkan dan penantian peminat untuk melihat semula mereka beraksi berbaloi. Berbaki tiga hari lagi persembahan sehingga Ahad ini, peminat tidak seharusnya melepaskan peluang menonton Konsert Hati Emas Kembara di Istana Budaya.