suria

Aktor Baharu, Luqman Hafidz Intai Peluang Selepas 'Ola Bola'

Luqman Hafidz.
KUALA LUMPUR: Pelakon baharu Luqman Hafidz berharap kemunculan pertamanya dalam filem Ola Bola akan membuka lebih banyak peluang terhadap kerjaya lakonannya selepas ini.

Luqman atau nama sebenarnya Muhd Luqman Hafidz Mohd Fauzi, 24, berkata, sejak berlakon dalam filem tersebut minatnya terhadap bidang berkenaan semakin bertambah dan ingin meneruskan karier dalam bidang seni.

"Jujurnya saya sendiri tidak tahu bahawa saya ada bakat berlakon tetapi saya tetap mencuba dan Alhamdulillah saya diberi kepercayaan memegang watak Ali dalam Ola Bola.

"Jika ada peluang lagi selepas ini saya tidak teragak-agak untuk mencuba malah berharap akan ada tawaran lain selepas filem ini ditayangkan di pawagam," katanya kepada mStar Online.

Filem arahan Chiu Keng Guan itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Bront Palarae, JC Chee, Saran Kumar, Eric Teng Shin Wang dan Lim Jian Wen.

Ia bakal menemui penonton di pawagam bermula 28 Januari ini.

Ola Bola turut menampilkan JC Chee dan Bront Palarae.

Ola Bola mengambil inspirasi daripada kegemilangan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Dalam pada itu, Luqman berkata, pada awalnya dia menyangka hanya diberikan watak sampingan namun terkejut apabila terpilih sebagai salah seorang pemain utama dalam karya tersebut.

Jelasnya, bagi mendapatkan gambaran sebenar berada di lokasi penggambaran dia banyak melakukan pembacaan dan menonton video lakonan di YouTube sebagai persediaan.

"Saya memang tidak pernah sangka dapat berlakon dalam sebuah filem dan antara watak utama. Alhamdulillah ia rezeki saya.

"Perasaan gemuruh itu memang ada kerana tidak ada pengalaman namun nasib baik Chiu memberikan kami latihan lakonan selama dua bulan selain saya melakukan banyak kajian sendiri menerusi internet," katanya yang meminati filem Bollywood.

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Ukur Tanah ini memberitahu peluang berlakon dalam Ola Bola juga digunakan sebagai sumbangannya kepada industri bola sepak Malaysia.

Jelasnya, sejak kecil dia meminati sukan berkenaan malah turut menyertai beberapa kelab selain pernah menerima anugerah pemain terbaik untuk Khairy Jamaluddin Cup pada 2014.

"Saya suka main bola sepak dan biarpun tidak berpeluang bermain secara profesional namun saya anggap penglibatan saya dalam filem ini sebagai satu sumbangan kepada industri sukan negara.

"Ia sebagai penghargaan saya kepada semua lagenda-lagenda yang pernah kita ada sebelum ini menerusi lakonan," ujarnya.

Luqman Hafidz

Artikel Lain