suria

Pukul Isteri, Aliff Aziz Bebas Dengan Jaminan Polis

Aliff dan isterinya, Bella Astillah.

SELEPAS ditahan sejak Jumaat lalu atas dakwaan memukul isterinya yang masih dalam pantang, penyanyi Aliff Aziz dibebaskan pada pagi Sabtu dengan jaminan polis.

Aliff yang berasal dari Singapura dibebaskan selepas keterangannya diambil berhubung kes berkenaan dan ia akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin.

Aliff disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Nama penyanyi lagu Sayang Sayang itu menjadi perhatian apabila dia didakwa bertindak memukul isterinya, Bella Astillah, 23, di sebuah pusat karaoke di Taman Shamelin, Cheras pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, Bella bersama ibunya dikatakan mencari Aliff dan menemuinya bersama seorang wanita di pusat hiburan berkenaan.

Dalam satu laporan polis yang dibuat Bella di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada Jumaat, wanita yang masih dalam pantang itu dikatakan bertindak memarahi suaminya sebelum sempat merakam beberapa keping gambar suami dalam pusat karaoke itu.

Bagaimanapun, Aliff dikatakan mula bertindak kasar dan merampas telefon tersebut sebelum memadam kesemua bukti gambar yang telah dirakamnya.

Akibat pergelutan tersebut, Bella mendakwa dia mengalami luka di muka dan lutut setelah ditolak menggunakan tangan dan siku oleh suami.

Aliff kemudiannya dikatakan bertindak keluar dari bilik tersebut bersama-sama wanita berkenaan.

Sementara itu, Bella ketika dihubungi mengesahkan berita pembebasan suaminya itu namun masih belum berkesempatan bertemu dengan Aliff kerana dia berada di hospital.

Aliff Aziz, Bella Astillah

Artikel Berikut

Artikel Lain