KUALA LUMPUR: Dua pasukan Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu berjaya melangkah ke separuh akhir Piala FA setelah melakar kemenangan bergaya pada aksi suku akhir kedua, malam Selasa. Kelantan yang terikat seri 1-1 menentang Sime Darby FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada aksi pertama, 7 April lepas menang selesa 3-0 pada aksi timbal balik di laman sendiri, malam ini untuk menang dengan agregat 4-1. Mereka bakal berdepan pemenang perlawanan antara juara bertahan, Pahang atau Pulau Pinang pada aksi separuh akhir yang diadakan secara timbal balik, awal bulan depan. Jiran mereka, Terengganu turut beraksi cemerlang setelah menang selesa 2-0 ke atas Perak pada aksi timbal balik di Stadium Perak, Ipoh, malam ini untuk mara dengan agregat 3-1. Sebagai rekod, kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 7 April lepas. Kemenangan tersebut menyaksikan pasukan Terengganu bakal berdepan pemenang perlawanan antara Johor Darul Ta'zim II atau wakil Singapura, Lions XII pada aksi separuh akhir nanti. Pada aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, pasukan Kelantan hanya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-40 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi setelah beliau dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh kapten pasukan pelawat, Ivan Dragicevic. Pemain import baharu dari Nigeria, Austin Amutu menggandakan kedudukan untuk Kelantan pada minit ke-58 sebelum Erwin Carillo mengesahkan tiket separuh akhir untuk Kelantan setelah menyudahkan hantaran daripada Amutu pada minit ke-74. Terengganu pula meraih kemenangan 2-0 di Stadium Perak, Ipoh hasil jaringan penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-21 dan Issey Nakajima-Farran pada minit ke-55. Berikutan kekalahan itu, segelintir penyokong pasukan Perak bertindak membakar suar namun berjaya ditenangkan oleh anggota keselamatan yang bertugas.-- Bernama