PENGENDALI Manchester United, Jose Mourinho mengaku kalah dalam usaha merebut kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris selepas tewas 0-2 kepada Arsenal, awal pagi Isnin. Namun Mourinho dalam nada sinis berkata beliau 'berpuas hati' kerana meninggalkan Stadium Emirates dalam keadaan penyokong Arsenal bergembira meraikan kemenangan pasukan tuan rumah. "Akhirnya saya meninggalkan stadium ini dengan penyokong Arsenal dalam keadaan gembira. Mereka amat gembira dan saya juga gembira untuk mereka. "Ia pertama kali saya meninggalkan stadium ini dan mereka gembira. Dan saya juga gembira kerana Arsenal sebuah kelab yang menakjubkan. "Saya beredar dari Highbury dan mereka menangis. Saya meninggalkan Emirates dan mereka menangis, berjalan dalam keadaan kecewa. Tapi hari ini mereka mengibarkan skarf. "Arsenal adalah kelab besar. Anda fikir saya gembira melihat kelab seperti Arsenal tidak memenangi trofi? Tidak, saya amat kecewa. "Arsene Wenger bukan pengurus 'kerdil', dia seorang yang berjiwa besar, untuk mempunyai rekod menang dalam banyak perlawanan terhadapnya tidak normal. Normal adalah menang, kalah dan seri. Tapi saya tidak peduli keputusan hari ini," kata Mourinho. Bekas pengendali Chelsea itu berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Wenger dan mereka dilihat berjabat tangan sebelum sepak mula dan selepas perlawanan tamat. "Apa yang saya tidak suka tentang Wenger adalah dia memberi tekanan kepada pegawai keempat perlawanan. Setiap masa," katanya. Hubungan Mourinho dan Wenger sentiasa tegang sejak pengendali United itu tiba di England buat pertama kalinya untuk mengurus Chelsea pada 2004. Mereka sering bertikam lidah di tepi padang dan pada perlawanan itu Wenger begitu marah apabila Wayne Rooney mengasari Alex Oxlade-Chamberlain pada babak pertama. Dengan kemenangan itu, Arsenal berjaya meleburkan rekod tanpa kalah United dalam 25 perlawanan EPL. United pula ketinggalan empat mata di belakang Manchester City yang menghuni tempat keempat selepas mengutip 69 mata.