ED Woodward membayangkan Manchester United akan meneruskan aktiviti pembelian pemain bertaraf bintang pada jendela pemindahan pemain akan datang. Bayangan itu diberikan selepas ketua eksekutif United itu mengakui pembelian pemain kali ini berbaloi dan menggembirakan. Pada jendela pemain baru-baru ini, Jose Mourinho mendapatkan Romelu Lukaku, Nemanja Matic dan Victor Lindelof dengan perbelanjaan besar. Pelaburan itu dianggap berbaloi apabila kehadiran pemain berkenaan memberi kesan dan meletakkan kembali United sebagai pasukan digeruni. "Kami gembira kerana kelab ini telah menunjukkan kemajuan dengan kedudukan di Liga Perdana Inggeris sekarang. "Kami juga gembira kerana pembelian pemian kali ini berbaloi. Kami percaya penambahan pemain ini akan lebih memantapkan pasukan. "Kemasukan tiga pemain baru dan memperbaharui kontrak pemain sedia ada menunjukkan kami sedia mencabar setiap piala," katanya.