suria

Piya Sah Perkuat TRW

Mohd Badhri Radzi.

PETALING JAYA: Teka-teki mengenai masa depan Mohd Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya bersama skuad The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi kempen Liga Malaysia 2018 akhirnya terjawab.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan Piya bersetuju untuk terus komited bersama TRW bagi tempoh setahun lagi.

"Ya, Piya baru sahaja tandatangan kontrak baharu bersama Kelantan sebentar tadi. Dia akan kembali memperkuat pasukan musim depan," katanya.

Sebelum ini, kapten Kelantan itu mengakui sudah menerima tawaran untuk kekal bersama pasukan tersebut tetapi masih belum menandatangani kontrak berkenaan.

Kata pemain berusia 34 tahun itu, dia memerlukan sedikit masa untuk memikirkannya.

Pada masa sama, pemain paling senior dalam skuad Kelantan itu mengakui turut dilamar beberapa pasukan Liga Super termasuk Liga Perdana dengan bayaran agak tinggi.

Diminta mengulas mengenai kontrak tersebut, Bibi berkata, tawaran baharu itu diberikan kerana Kafa berterima kasih di atas jasa dan kesetiaan Piya terhadap skuad TRW selama ini.

"Sehingga hari ini kita berterima kasih kepadanya. Dia merupakan salah seorang pemain yang tidak pernah bermain dengan pasukan lain," katanya.

Malah Bibi berharap agar Piya tidak menjadikan usia sebagai penghalang untuk kembali mempamerkan prestasi terbaiknya bersama skuad tersebut.

"Saya harap dia boleh cuba buat yang terbaik dan bermain bersungguh-sungguh demi negeri Kelantan," katanya. 

Piya, TRW

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain