suria

Jejak suara wanita menangis dalam banglo usang KKB

KISAH ini berlaku ketika kami bertandang ke sebuah banglo usang yang terletak di hujung sebuah jalan sekitar Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Ketika itu jam menunjukkan pukul 12.30 tengah malam.

Setibanya di sana, seakaan ada sesuatu yang 'menyambut' kehadiran kami.

Sayup-sayup kedengaran suara tangisan wanita.

Namun hati ini cuba untuk tidak memikirkan sesuatu yang negatif kerana mungkin bunyi tersebut adalah salakan anjing.

Enggan terganggu dengan suara itu, kru mStar bersama Spot Trekker Team (STT) yang diketuai Shaq Omar membuat persiapan bagi memulakan rakaman pada malam itu.

Kami berkampung di hadapan tempat letak kereta rumah berkenaan.

Shaq kemudiannya membawa kami meninjau sekitar kawasan banglo berkenaan.

Melihat keadaan sekeliling yang gelap, suram dan penuh semak samun, banglo tinggalan zaman British ini yang jauh dari pekan ini cukup menyeramkan.

Sedang kami menghampiri sebuah rumah pokok (treehouse) yang terletak di hadapan banglo itu, bunyi seakan alat muzik permainan kanak-kanak berjaya dikesan.

Sejujurnya kami tidak sedar akan kehadiran bunyi itu namun ia dikesan ketika proses suntingan semula.

Tepat pukul 1.30 pagi, kami berkumpul semula di hadapan rumah banglo itu bagi memulakan aktiviti.

Operasi menguji tahap keberanian atau dikenali sebagai uji nyali pada malam itu disertai dua individu.

Sukarelawan pertama, Hazlinda Mohd Adnan, 25, ditempatkan di dalam sebuah bilik tidur banglo berkenaan selama 45 minit minit.

Bilik tidur itu dipilih sebagai lokasi ujian kerana dikatakan memiliki kisah seramnya tersendiri.

Menurut penduduk kampung, beberapa insiden seperti terlihat kelibat wanita berdiri di jendela rumah berkenaan ketika senja antara yang paling popular diceritakan.

Sukarelawan kedua, Amri Mohd Alim, 30, diberikan tugasan untuk menyalakan 7 batang lilin yang diletakkan di beberapa lokasi termasuk bahagian dapur dan bilik air rumah berkenaan.

Ketika sukarelawan sedang melakukan uji nyali sekitar pukul 3 pagi, kami dapat rasakan tiupan angin kencang dari luar banglo ini.

Pada masa sama kedua-dua individu berkenaan mengadu sering diganggu dengan bunyi tangisan, tapak kaki, kelibat bayang-bayang dan banyak lagi.

Mujur sahaja ia sekadar mengusik dengan bunyi asing dan tidak menjelma dalam bentuk fizikal.

banglo KKB, uji nyali, mistik


Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi