PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) keliru dengan arah tuju sebenar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang kini berdepan konflik apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya iaitu Ahmad Idham mengambil keputusan untuk memendekkan perkhidmatannya bersama agensi itu setahun lebih awal.
Presidennya, Zed Zaidi, 39, mendakwa Pengerusi Finas iaitu Datuk Hans Isaac sering campur tangan selain bersikap seperti mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan sesuatu keputusan.
“Pengerusi Finas kini bersikap seakan dia menyandang jawatan CEO dalam organisasi tersebut, pekerja-pekerja mereka juga dah keliru sama ada nak dengar arahan CEO atau pengerusi.
“Apabila mereka sendiri carca-marba, kami yang berada di peringkat persatuan terkena tempiasnya. Lagi beberapa hari nak masuk tahun 2020 tapi arah tuju mereka pun masih samar-samar.
“Saya keliru sama ada menteri melantik individu yang betul atau sebaliknya untuk menerajui Finas,” kata Zed Zaidi kepada mStar.
Zed ditemui semasa majlis penyerahan bantuan kerusi roda kepada beberapa pelakon veteran pada Selasa.