PENINGKATAN kes tekanan mental dikalangan golongan muda pada hari ini wajar diberi perhatian serius. Di England kes ini meningkat tiga kali ganda menurut, kajian bersama yang dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Menurut laporan yang dikeluarkan The Health Behaviour in School-Aged Children (HSBC), melibatkan kira-kira 6,000 anak muda yang berusia 11, 13 dan 15 tahun di seluruh England mendedahkan mereka sanggup mencederakan diri mereka. Bagaimanapun tiada data komprehensif yang menunjukkan England merupakan negara yang paling tinggi mencatatkan kes mencederakan diri sendiri sejak kajian itu dijalankan pada 1983. Keputusan tersebut termasuk bukti anekdot yang diperoleh daripada guru sekolah menengah di seluruh Britain. Kajian mengenai cubaan mencederakan diri itu turut disiarkan dalam British Medical Journal pada 2002. Berdasarkan kajian kira-kira 6,000 remaja yang berusia 15 dan 16 tahun daripada 41 sekolah berkata mereka sanggup mencederakan diri mereka tahun lalu. Berbanding dengan kajian yang dijalankan WHO pada 2013-2014, menjadikan jumlah tersebut kepada 20 peratus dikalangan mereka yang sanggup mencederakan diri sendiri dikalangan remaja yang berusia 15 tahun. Antara aksi yang digunakan untuk mencederakan diri sendiri ialah, mengelar pergelangan tangan, membakar dan menggigit diri sendiri. Professor Fiona Brooks, Ketua Kesihatan Kanak-Kanak dan Remaja University Hertfordshire, berkata hasil kajian agak membimbangkan dan insiden mencederakan diri sendiri banyak berlaku dikalangan pelajar wanita. Pada usia 11 tahun, pelajar wanita dan lelaki mencatatkan level emosi yang sejahtera. Namun pada usia 15, perbezaannya semakin meningkat dan 45 peratus remaja wanita berkata mereka berasa sangat lemah berbanding golongan lelaki yang mencatatkan 23 peratus. Beliau memberi amaran ia ibarat bom jangka melainkan kesihatan mental yang lemah dikalangan kanak-kanak segera dapat diatasi. "Kami belum cukup tahu tentang mengapa (kesihatan mental yang lemah ini berlaku), adakah disebabkan ibu bapa sibuk bekerja dan ini menjadikan kanak-kanak lebih berasa tertekan. Golongan remaja ini tahu mereka perlu gred yang lebih baik untuk masuk ke universiti, namun ia tidak memberi jaminan mereka akan mudah mencari pekerjaan. Brooks percaya ia menyebabkan anak muda 'beralih kepada strategi seperti mencederakan diri sendiri untuk menguruskan tekanan dalam jangka pendek." "Walaupun, ia mencatatkan penurunan bagi kelakuan seperti hisap rokok, minum arak, masih tiada lagi transisi yang lebih positif dicatatkan dalam kelakuan yang baik," katanya. Grace, 16, merupakan seorang remaja yang gemarkan muzik, menyanyi dan bermain bola jaring. Namun sejak dia berusia 12 tahun dia sudah mula mencederakan diri sendiri. "Saya mula mengelar pergelangan tangan saya dengan gunting dan pisau cukur. Ada masanya keadaan menjadi lebih teruk hingga sanggup mencederakan hingga ke bahagian peha. Adakalanya sekali sebulan, bergantung kepada apa yang berlaku disekeliling saya," katanya. Oleh kerana selalu mencederakan diri, ia meninggalkan kesan parut di badannya. Grace juga pernah mendapatkan khidmat kaunseling di sekolah, namun dia berkata ia tidak membantu kerana kaunselor di sekolahnya agak berusia. Ibunya sering menyalahkan diri sendiri akibat apa yang berlaku terhadap dirinya. Grace, bagaimanapun tidak menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku terhadap dirinya. "Ini bukan salah sesiapa. Saya berharap dapat mengatasi masalah ini dengan lebih baik," katanya. "Saya terpaksa membiasakan diri dengan apa yang ada di sekolah. Saya mempunyai teman rapat, dan buat pertama kali saya mempunyai seorang rakan karib yang tidak pernah saya miliki sebelum ini. Keluarga juga memberi sokongan yang kuat kepada saya," katanya. Namun sejak didiagnos mengihap depresi setahun yang lalu, dia sangat lega dan percaya pengesanan peringkat awal sangat membantu. "Ia dapat mengurangkan kekeliruan dalam diri mengapa saya bersikap sebegini," katanya. "Walaupun agak bengang dengan label berkenaan, namun dia percaya sejak disahkan dirinya menghidap depresi menunjukkan ada sebab disebalik apa yang berlaku dan dia juga sudah tidak mencederakan diri sendiri," katanya. Selfharm.co.uk wujud sejak 1993, bagi membantu kehendak sosial dan emosi golongan muda. Ia juga turut menyediakan forum kepada mereka yang suka mencederakan diri sendiri agar mereka boleh mendapatkan nasihat dan dapat berhubung dengan golongan yang senasib dengan mereka. Grace juga diminta mengetengahkan skim Alumina, yang akan mengadakan mesyuarat mingguan secara atas talian bersama dengan kauselor dan doktor. Pada masa yang sama dia turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti untuk membolehkan mereka menganalisa apa yang dilakukannya. Prof Brooks percaya kajian menunjukkan adalah perlu semua pihak melihat dengan lebih mendalam punca yang menyebabkan peningkatan kes mencederakan diri sendiri. "Kita perlu tahu apa strategi yang diperlukan untuk membantu golongan muda mengatasi masalah mencederakan diri sendiri." -Guardian News & Media.