suria

Mencari Kenangan Di Pasar Loken

Pelbagai jenis barangan antik termasuk periuk, teko, telefon, talam dan tin yang dijual di Pasar Karat Ipoh pasti mengimbau kenangan silam setiap pengunjung.

SUDAH banyak kali mendengar dan membaca tentang tempat ini. Katanya bukan sahaja menjadi tumpuan orang tempatan tetapi juga pelancong asing.

Jika mahu ke sana dinasihatkan awal-awal pagi. Jika tidak akan bersesak-sesak dengan ribuan manusia yang lain. Bagi yang berkereta pula akan berhadapan dengan masalah ‘parking’.

Tambahan pula tempat ini beroperasi hanya pada hari Ahad dan setengah hari sahaja. Bermula seawal jam 6.30 pagi dan tutup pada jam 1.00 tengahari. Kawasan pasarnya pula panjang dan luas. Dalam sekitar 2 kilometer. Jadi semua mengejar waktu di Pasar Loken yang terletak di ibu negeri Perak ini.

Kenalan di Ipoh juga selalu memberi peringatan, jika berkunjung ke Ipoh, jangan sesekali lepaskan peluang ini untuk ke Pasar Loken. Telah lama diperkatakan orang mengenai Pasar Loken ini, jadi bila sudah di Ipoh rugilah jika tidak ke sana.

PASAR KARAT@MEMORY LANE

Pasar Loken adalah pasar terbuka yang menjual segala jenis barang khususnya barangan lama dan berstatus antik di bawah payung besar. Justeru ada juga yang memanggilnya sebagai Pasar Karat Ipoh.

Loken adalah nama panggilan yang diberikan oleh pengunjung sejak dulu-dulu lagi kerana kerana mengambil sempena nama Bazar Lam Look King di Jalan Laksamana yang berdekatan dengan tapak asal pasar karat itu. Kemudian dipindahkan ke tepi Sungai Kinta.

Kini Pasar Karat ini terletak di sepanjang Jalan Horley. Bermakna dalam sejarah Pasar Loken sudah berpindah tempat sebanyak tiga kali. Pasar Loken kini diberi nafas baharu dengan nama Memory Lane.

Namun penduduk masih serasi dengan nama Pasar Loken. Dan nama itu memberi makna yang tersendiri dan unik kepada Pasar Karat Ipoh. Sudahlah namanya unik, ia juga bernostalgia setempat.

Dua buah pintu gerbang besar didirikan di kedua-dua arah laluan masuk sebagai mercu tanda pasar itu. Menurut Pak Meor (yang menjadi jurupandu penulis), penjaja dan penjual di Pasar Loken dulu tidaklah seramai hari ini.

PELBAGAI

Dulu mereka hanya menjual barang-barang lama sahaja tetapi kini dari kain baju, peralatan eletrik, perkakas komputer, makanan, minuman, buah-buahan bahkan ikan hiasan turut dijual.

Kelihatannya arahan perpindahan lokasi oleh Majlis Bandaraya Ipoh ada baiknya kerana membuka peluang kepada lebih ramai penjual dan peniaga untuk mencari rezeki. Meski pelbagai barang jualannya mencacatkan keaslian pasar karat namun siapa yang kisah? Bukankah lagi ramai lagi meriah? Itulah juga hasrat pihak berkuasa tempatan.

Penulis tiba sekitar jam 8.30 pagi. Sudah agak lambat sebenarnya. Bagi sesetengah orang, waktu sebegini masih terlalu awal untuk keluar dari ‘sarang selimut’ masing-masing, tambahan pula hari Ahad.

Pemandangan di Pasar Loken ini berlainan sama sekali. Ribuan manusia sudah memenuhi lorong jualan di sepanjang Jalan Horley yang kini turut melimpah ke Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Lim Bo Seng.

Pembeli dalam dan luar negara sering mengunjungi Memory Lane yang menawarkan pelbagai barangan menarik.

Kebanyakkan peniaga mempamerkan barang jualan mereka di atas tikar yang dibentang di bawah payung masing-masing. Beberapa lorong di sekitar Jalan Horley turut dipenuhi dengan penjaja kecil barang lama.

Tanpa payung, mereka meletakkan barangan mereka di atas alas yang kecil. Bahkan sehingga di kaki lima dijadikan ruang untuk berniaga. Itulah kedai terbuka mereka. Mudah dan ringkas.

BERTALI ARUS

Pengunjung bertali arus. Ada sesetengah tempat sesak kerana pengunjung yang singgah membelek-belek barang yang mungkin berkenan di hati mereka. Ada yang berhenti sekejap kerana mengambil foto seperti penulis.

Ada yang asyik kerana melihat gelagat urus niaga antara penjual dan pembeli. Laluan sudahlah sempit, orangnya ramai pula.

Pendek kata, pelbagai ragam manusia dapat dilihat di pasar ini. Pelbagai bangsa yang datang. Pelbagai peringkat umur yang kelihatan. Ada yang tua dan ada yang muda. Ada juga kanak-kanak yang datang bersama ibu bapa mereka.

Tidak rugi bangkit awal dari tidur semata-mata untuk datang ke Pasar Loken kerana pasar karat ini memang hidup dan meriah.

Jika namanya pasar karat maka tidak sah tanpa barang lama, lusuh dan buruk. Dalam bahasa komersilnya ia dipanggil sebagai barang warisan atau barang antik. Menjejakkan kaki di sini seolah-olah kembali ke masa silam, zaman kanak-kanak, 40 tahun yang lalu.

Mata penulis terhenti kepada satu barang yang pernah menjadi kesayangan ibu. Seterika arang yang diperbuat dari tembaga. Bukan satu atau dua atau tiga…banyak sekali.

Bahkan penulis juga melihat periuk tembaga, kuali tembaga dan loyang kuih tembaga yang pernah digunakan ibu untuk memasak di dapur. Otak penulis pantas memutar ke belakang, mengimbas kembali kenangan silam, kepada dapur kayu ibu yang penuh dengan jelaga.

Bau dan asapnya yang berkepoi-kepoi terbayang oleh penulis. Wah! Rindunya kepada zaman itu.

SYILING, WANG KERTAS & JAM LAMA

Antara barang lama yang dijual di Pasar Karat Ipoh ini ialah duit syiling lama, wang kertas lama, kamera antik, pinggan mangkuk zaman kolonial, alat piring hitam klasik, alat solek mak dara, jam tangan antik, cerana sirih, radiogram serta banyak lagi.

Pendek kata, tidak habis jika mahu disenaraikan di sini. Betullah kata kawan, membaca dan mendengar tidak akan sama dengan datang melihat sendiri. Lebih dekat dengan kita dan lebih memberi kepuasan. Dan penulis sedang mengalaminya.

Selain seterika arang tembaga, penulis juga terkenang-kenang ke zaman kanak-kanak apabila melihat pinggan makan seramik berbunga kangkung dan kekwa yang kuntum bunganya dalam warna merah pink dan ada yang hitam putih.

Penulis turut merakamkan kenangan bersama pinggan mangkuk bermotifkan bunga kangkung yang digunakan di zaman silam.

Pinggan berbunga kangkung yang kuntumnya berwarna merah pink itu selalu menjadi rebutan antara penulis dengan kakak. Semua tidak mahu makan dalam pinggan yang bunganya hitam putih kerana tidak cantik. Rindu lagi penulis kepada zaman silam.

Dari gerai ke gerai penulis berkunjung. Penulis melihat ada yang taksub kepada jam tangan lama. Jenamanya terlalu asing kepada penulis tetapi jam tangan ini ada peminat rupanya.

Peminat barangan antik tentunya mahu menjadikan jam yang ditawarkan di Pasar Karat Ipoh sebagai koleksi peribadi.

Agak lama juga masa yang diambil untuk membuat keputusan untuk membeli atau tidak. Pelbagai soalan ditanya kepada penjual. Dibelek, diacu di lengan, ditelek lagi…setelah puas hati dengan jaminan ketulenan dan keadaan jam itu yang masih baik, barulah berunding pasal harga.

Selalunya jika hati sudah berkenan, harga tidak menjadi halangan. Bijak tawar menawar dapatlah barang yang dihajati pada harga patut.

Syiling lama pelbagai jenis dan warna turut menarik perhatian pengunjung.

Gerai payung menjual wang syiling lama dan wang kertas lama antara yang membuatkan trafik manusia di sini tersangkut. Penulis turut berhenti melihat dan membelek. Bukan untuk membeli kerana penulis bukanlah pengumpul wang atau syiling lama tetapi singgah untuk melihat wajah wang kertas yang pernah diberikan ibu sebagai wang saku sekolah dahulu.

Telatah penjual ubat dan penjual yang bersyarah mempromosi barangan masing-masing juga membuatkan keadaan trafik di sini tersangkut. Kepetahan mereka bercakap ditambah pula ‘demo on the spot’ adalah pelaris kepada barang masing-masing.

TEMPAT LAIN

Penulis berjalan lagi. Walaupun ada gerai payung yang menjual kain baju, tudung, beg tangan, kasut, selipar, majalah dan buku, produk herba, penulis tidak singgah lama.

Harganya murah boleh tahan tapi tidak menarik minat. Di Pasar Loken barangan ini dijual di laluan yang berasingan dari laluan barang antik. Jadi pengunjung boleh memilih laluan mana yang mereka mahu berdasarkan pencarian masing-masing.

Kacip pinang serta peralatan antik yang dijual di Pasar Loken.

Ini salah satu strategi untuk menyuraikan trafik manusia di pasar ini agar tidak bertumpu di satu laluan sahaja. Pencarian barangan dan keperluan juga mudah dibuat oleh pengunjung.

Jika berdasarkan peratus barangan yang dijual saya merasakan penjual barang lama mendominasi 50 peratus dari kehadiran, 20 peratus kain baju, 10 peratus peralatan eletrik, 10 peralatan komputer dan 10 peratus lain-lain jualan.

Meski pun Pasar Loken tidak seratus peratus menjual ‘barangan karat’, ia masih boleh dikategorikan sebagai pasar karat. Sebenarnya pasar karat ini wujud juga di tempat lain di seluruh Malaysia.

Pelbagai nama diberikan berdasarkan pengaruh setempat seperti pasar lambak, pasar warisan, flea market, ropewalk, roadwalk, boot Sale dan tidak kurang yang memanggilnya sebagai Pasar Pencuri atau thieves market.

Pasar karat dikatakan menjadi tempat untuk menjual barangan curi seperti kasut, selipar serta barangan lain. Pemantauan pengesahan pemilikan barangan tentu sukar dibuat di pasar ini yang mengamalkan pembelian dan penjualan terbuka, tidak ber-resit dan on the spot.

Sewajarnya pihak berkuasa tempatan memikirkan kaedah penyelesaian agar imej pasar karat dapat dimantapkan. Tambahan pula pasar karat turut disenarai sebagai pusat tumpuan pelancongan. Pelancong suka datang kerana dapat melihat kemajmukan rakyat Malaysia di sini.

Kalau barang baik dan menarik, mungkin rezeki penjual jika pelancong membelinya. Ini kerana ada barang lama yang bercirikan kolonial.

Bagi pengumpul barangan antik di mana sahaja mereka mendengar adanya pasar karat mereka pasti akan ke sana. Jauh atau dekat tidak menjadi halangan.

Mangkuk tingkat ini pasti menggamit memori.

Tujuannya untuk mencari barang demi menambah koleksi mereka seperti koleksi pinggan mangkuk, teko, lencana, jam, duit lama, buku dan banyak lagi.

Mereka juga tidak jemu datang berulang kali ke pasar karat yang sama. Ada sahaja barang baru yang dibawa oleh peniaga. Peminat barangan antik yang fanatik sanggup meninggalkan pesanan kepada penjual untuk menghubungi mereka jika barang yang dihajati telah ada dalam simpanan mereka.

Hobi mengumpul dan menjual barang lama tidak terbatas kepada satu-satu kaum. Penulis melihat ada Melayu, ada Cina dan ada berbangsa India. Mereka berjual beli dalam suasana harmoni. Bercakap dalam Bahasa Malaysia bahasa kebangsaan kita dengan lancarnya.

Kala barangan mereka diambil gambar mereka tidak marah. Sebaliknya mereka akan memberi penerangan secara sukarela tentang sejarah satu-satu barang yang dirakam oleh kita.

NEGARA LUAR

Ada barang yang yang dijual di Pasar Loken ini dibawa masuk dari Indonesia, Thailand, Kemboja, Vietnam serta tidak terkecuali dari negara Eropah seperti Jerman dan United Kingdom.

Penjual membeli barang-barang ini dari pasar karat di negara berkenaan. Mungkin pasar karat mereka lebih tersusun dan ada pasar khusus seperti di Kemboja, pelancong boleh mendapatkan barang antik di Pasar Tuol Tom Pong. Di Indonesia terkenal dengan Pasar Antik Jalan Surabaya sementara Chatuchak terkenal di Thailand.

Bahkan History Channel ada program American Pickers mengenai pemburuan barangan antik oleh dua sahabat. Discovery Channel pula menyiarkan program Pawn Stars sebuah keluarga yang mengusahakan kedai membeli dan menerima pajakan barangan antik. Nampaknya hobi ini menjadi kegilaan global dan dijadikan satu kerjaya tetap di beberapa buah negara.

Penulis suka pasar karat kerana keunikannya. Alasan yang lebih dekat dengan penulis ialah pasar karat membawa kita kembali ke zaman kanak-kanak. Bila penulis melintasi satu-satu gerai payung barang lama, mata akan liar mencari barang-barang yang dekat dengan zaman kanak-kanak.

Di Pasar Loken, banyak barang yang dekat dengan hati penulis. Seperti mangkuk tingkat, periuk koci, basikal, radio besar, telefon klasik, bekas rokok atuk, cerana sirih, kaset, LP piring hitam…Ah! Banyak sangat.

Dapat menyentuh dan membelek barang-barang itu mengundang perasaan yang sukar dijelaskan dengan kata-kata.

Saya juga berpeluang melihat barang-barang yang dibuat sebelum penulis dilahirkan. Contohnya tiga buku yang diterbitkan pada tahun 1962. Ditulis dengan sistem ejaan lama. Klasik sekali.

Antara koleksi bahan bacaan lama yang turut dijual di kaki lima Pasar Loken yang menarik perhatian penulis.

Sedar tak sedar dalam asyik menjamu mata, matahari sudah tegak di kepala. Peniaga sudah mula mengemas barang masing-masing. Meski pengunjung masih ramai, tentu tidak selesa berniaga di bawah panas matahari yang terik yang hanya berteduh di bawah payung yang kecil.

Sama ada Pasar Loken atau Pasar Karat Ipoh, penulis pula akan memanggilnya sebagai Pasar Nostalgia. Rasanya inilah pasar karat terbesar di Malaysia. Penulis pasti datang lagi mencari kenangan yang telah lama tinggalkan. Anda bagaimana?


Artikel Lain