SUATU ketika dahulu, dia pernah dianggap sebagai pelajar bermasalah oleh insan sekelilingnya. Percaya atau tidak, bilik kaunseling di sekolah seumpama 'kelas tambahan' bagi dirinya yang digambarkan sebagai seorang remaja yang suka memberontak.ARTIKLE BERKAITAN : Sabar ajelah! Selalu kacau si kembar baru tidur, ‘culik’ bawa balik rumah... anak layankan saja perangai atuk nakal suka sakat cucuARTIKLE BERKAITAN : Bulu mata lentik semacam, wanita ini dedah guru pernah lap matanya di perhimpunan sekolah... adakah ‘terkenan’ Siti Nurhaliza? Namun, Nur Assuhanis Ahmad, 29, sebenarnya tidak pernah mengerti apa yang dirasakan ketika itu sehingga membuatkan dirinya sering hilang pertimbangan. “Fikiran saya berkecamuk, kaki dan tangan saya sakit tapi masa tu saya tak pandai nak luahkan pada orang lain apa yang saya rasakan. “Apa yang saya tahu pada waktu itu hanyalah saya marah,” luahnya kepada mStar. Nur Assuhanis mula mengalami gejala Anxiety sejak di bangku sekolah. Dari pelajar bermasalah ke 'perempuan gila' Situasi tersebut malangnya berlarutan sehingga dia meningkat dewasa. Lebih teruk, dia kini bukan lagi digelar remaja bermasalah tapi 'perempuan gila'. Nur Assuhanis atau lebih mesra dengan panggilan Kak Nez memberitahu, situasi dirinya menjadi semakin parah apabila kehilangan ibu tercinta pada penghujung 2017. “Bila saya kehilangan mak, saya patah semangat. Ditambah pula dengan keadaan ekonomi masa itu. “Sampai satu tahap saya rasa dada sakit sangat, jadi saya pergi ke Klinik Kesihatan sebab saya sangkakan saya diserang sakit jantung, tapi doktor cakap bacaan elektrokardiogram saya normal. “Doktor sarankan saya buat Depression, Anxiety and Stress Screening (Saringan Sihat Minda) dan keputusannya mengesahkan bahawa saya ada masalah anxiety ekstreme dan depression,” ceritanya lagi. Keadaan Nur Assuhanis sewaktu mengalami serangan Anxiety (gambar kiri) manakala gambar kanan menunjukkan kecederaan yang dialami selepas diserang panic attack ketika sedang membersihkan akuariam ikan sebelum ini. Boleh dengar degupan jantung sendiri Nur Assuhanis yang ketika itu sedang mengandungkan anaknya yang ketiga juga dinasihatkan doktor untuk menjalani rawatan psikologi. “Bila jumpa dengan pakar terapi, masa tu baru saya sedar yang selama ini apa yang saya alami seperti sesak nafas, rasa berdebar sampai rasa macam boleh dengar degupan jantung, menggigil, tak lalu makan dan kebas pada kaki tangan rupa-rupanya adalah gejala panick attack,” terangnya. Panick attack atau serangan panik adalah salah satu jenis anxiety atau kebimbangan melampau yang berlaku dalam tempoh singkat, secara tiba-tiba dan kadangkala berlaku tanpa sebarang sebab yang jelas. Semuanya semakin jelas Berkongsi antara situasi yang sukar untuk dilupakan, Nur Assuhanis menjelaskan dia pernah hilang kawalan serta mengamuk di khalayak ramai setelah dimarahi guru yang menegurnya bercakap sewaktu perhimpunan. “Waktu tu saya menggigil, saya ingat lagi saya ketap bibir dan mengamuk sebab rasa seolah-olah orang sekeliling macam 'serang' saya. “Masa tu pendedahan mengenai kesihatan mental juga kurang, jadi guru-guru pun tak faham dan mereka anggap saya ni pelajar yang bermasalah. Sebab itu saya selalu dihantar ke bilik kaunseling. “Lepas berjumpa dengan pakar terapi barulah saya sedar yang apa yang saya alami masa zaman saya remaja tersebut adalah anxiety atau panik attack," jelasnya. Kerisauan yang melampau juga menyebabkan dia tidak gemar untuk pergi ke sekolah. Melawan anxiety dengan cara sendiri Selain itu, kerisauan melampau yang dialami Nur Assuhanis turut menyebabkannya mengalami kesukaran untuk tidur dan terpaksa bergantung kepada ubat penenang. Namun atas nasihat doktor serta suaminya yang kurang gemar melihat dirinya yang lemah setiap kali mengambil ubat, Assuhanis bertekad untuk berhenti daripada mengambil ubat serta melawan sakitnya dengan caranya tersendiri. “Nak tenang lepas kena serangan memang susah, biasanya saya akan ambil masa dua ke tiga jam tapi selalunya saya akan mulakan dengan menjaga penafasan saya. “Selain itu, saya akan cuba untuk ubah pemikiran saya, contohnya fikir perkara-perkara yang positif. “Selalunya saya akan duduk di satu sudut dan minum air dan ambil masa untuk tenang,” katanya. Anxiety boleh membuatkan seseorang itu mengalami kesukaran untuk tidur.— (Gambar Hiasan) Malah, Nur Assuhanis yang juga seorang pengusaha kek kini turut mendapat sokongan moral lebih 100,000 orang pengikutnya di laman TikTok. “Bila saya live kadang-kadang panick attack itu datang sebab saya rasa macam ada orang tengah hina saya atau bila ada orang tinggalkan komen yang bukan-bukan, jadi tangan dan kaki saya akan kebas. Selain itu, saya akan hentak kek atau lagi teruk saya buang terus kek bila gagal kawal diri. “Tapi pengikut saya sangat menyokong, mereka akan bantu saya tenangkan diri, mereka berborak dengan saya sampai panick attack saya reda,” katanya. Nur Assuhanis memberitahu, dia juga bersyukur memiliki sahabat yang banyak mengajarnya cara untuk kawal diri dan berfikiran positif. Pandangan kolot masyarakat Di sebalik sokongan yang diterimanya, Nur Assuhanis begitupun mengakui terdapat juga segelintir individu yang meninggalkan komen-komen jelik kepadanya di media sosial. “Ada yang komen 'perempuan gila', ada juga yang komen saya tak cukup iman sebab tu saya kena anxiety. “Selalunya saya akan tutup komen, saya tak nak baca sebab saya akan rasa patah semangat bila baca komen-komen negatif seperti itu,” katanya. Menurut Nur Assuhanis, malangnya pandangan negatif ini tidak hanya daripada masyarakat luar, bahkan rakan-rakan serta ahli keluarganya sendiri. “Orang selalu kata saya tak betul, saya tak ada iman malah ada ahli keluarga yang cakap saya jadi macam ni sebab saya tak sembahyang. “Masa saya bekerja orang panggil saya 'perempuan gila', memang saya tak boleh terima tapi saya kuatkan diri untuk senyum. “Ada juga yang gelar saya 'loud speaker' sebab mereka rasa saya seorang yang pemarah tapi sebenarnya saya tak suka marah cuma kadang-kadang saya gagal kawal perasaan saya,” katanya. Kanak-kanak dan remaja juga boleh mengalami anxiety. — (Gambar Hiasan) Ibu bapa perlu ambil tahu Menurut Nur Assuhanis, golongan ibu bapa perlu memainkan peranan serta mengambil tahu mengenai isu kesihatan mental bagi memastikan anak-anak yang mungkin menghadapi masalah ini bakal mendapat perhatian serta rawatan yang sewajarnya. “Budak-budak tak tahu macam mana nak bercakap, sama macam saya dahulu. Saya cuma tahu marah-marah, jadi mak dan ayah saya menyangkakan bahawa saya ini anak yang nakal dan suka memberontak. “Ada juga yang kata ini masalah perubahan hormon, tetapi sebenarnya saya marah sebab kaki dan tangan berasa sakit dan kebas, kemudian turut sakit perut, dada rasa sempit dan sejuk satu badan,” jelas Nur Assuhanis. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI