suria

Kesepian Jambolina berakhir...hanya sempat mengenal dunia beberapa bulan sebelum pergi selamanya

Jambolina dikurung dalam sangkar lebih sedekad di sebuah sarkas di Ukraine.

SEEKOR beruang betina yang menghabiskan hampir keseluruhan hayatnya dalam sangkar sarkas akhirnya mati tanpa sempat menikmati habitat semula jadi.

Beruang paling ‘kesepian’ di dunia yang diberi nama Jambolina itu sebelum ini hanya berkurung dalam sangkar di Ukraine sejak 2009 sebelum diselamatkan dan dipindah ke kawasan hutan di Switzerland, Disember tahun lalu.

Walaupun misi asal untuk memberinya kehidupan semula jadi, tapi malangnya pada 5 Ogos lalu beruang itu mati selepas dibius ketika usaha operasi pengalihannya ke kawasan hutan.

“Dengan berat hati dan penuh kesedihan, kami perlu memaklumkan yang Jambolina mati secara mengejut,” kata jurucakap badan kebajikan haiwan, Four Paws menerusi sosial media.

“Tidak lama selepas Jambolina menerima suntikan anaesthetic, penafasannya terhenti atas sebab yang belum dapat dipastikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis alami masalah mental hingga lupa wajah keluarga akibat Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN: Berpantang maut! Nelayan berpaut tong air selama 22 jam di lautan

“Walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan bagi menyelamatkannya, ia gagal. Kami sedang menyiasat punca yang menyebabkan kematian Jambolina.”

Kisah sedih haiwan malang itu bermula pada 2009 di sebuah zoo di Crimea.

Walaupun baru berusia beberapa minggu, haiwan itu dipisahkan daripada induknya dan dijual kepada sarkas.

Sejak itu, ia hanya dikurung di sebuah sangkar kecil selain dilatih untuk melakukan pertunjukan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Jambolina tinggal di sangkar lebih sedekad dan tidak pernah melihat beruang lain atau menikmati alam semula jadi.

Bagaimanapun, segalanya berubah selepas penularan pandemik Covid-19 apabila pihak pengurusan sarkas tidak lagi dapat melakukan pertunjukan.

Ekoran tidak lagi dapat menjana wang, pemilik Jambolina terpaksa ‘membuangnya’ kerana tidak mampu lagi menampung kos makannya.

Four Paws setuju untuk menyelamatkan Jambolina dan 8 Disember lalu dan membawanya ke Switzerland dengan harapan haiwan itu dapat menikmati kehidupan semula jadinya. – Daily Mail

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!



beruang, mati, covid, Jambolina

Artikel Lain