suria

Paris Hilton Ditahan Lepas Tonton Perlawanan Piala Dunia

PORT ELIZABETH: Sosialit Hollywood Paris Hilton ditahan selepas menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan, semalam kerana disyaki memiliki marijuana.

Cucu pengasas rangkaian hotel Hilton, Conrad Hilton itu bagaimanapun kemudiannya dibebaskan tanpa sebarang dakwaan.

Hilton, 29 dan rakannya Jennifer Rovero ditahan selepas pertandingan suku akhir antara Brazil dan Belanda.

Revoro yang merujuk kepada dirinya sebagai bekas playmate Playboy, model dan pelakon dalam laman webnya dikenakan denda 1,000 Rand (RM418) atau 30 hari penjara atas kesalahan menghisap rokok marijuana.

Peguamnya memberitahu mahkamah, model itu berada di Afrika Selatan untuk membuat liputan Piala Dunia sebagai jurugambar bebas.

"Mereka bersama-sama tetapi tidak ada kes terhadap Hilton. Dadah itu dalam milik Rovero, bukan Hilton," kata pihak pendakwa.

Hilton tiba di perbincangan mahkamah khas di sini kelihatan tegang dan memakai kardigan kuning air tanpa lengan, but dan seluar hijau.

Publisis beliau mengeluarkan kenyataan menjelaskan bahawa tangkapan tersebut merupakan salah faham.

"Paris disoal polis Afrika Selatan atas tuduhan menghisap marijuana," menurut kenyataan itu.

"Bagaimanapun saya boleh mengesahkan bahawa insiden itu hanyalah salah faham dan sebenarnya individu lain dalam kumpulan itu yang melakukannya.

"Kes terhadap Paris telah digugurkan dan tidak ada sebarang dakwaan dilakukan," katanya.

South Afrika menubuhkan 56 mahkamah khas untuk mengendalikan kes membabitkan pengunjung sempena Piala Dunia.

Hilton muncul di muka depan akhbar dunia Jun 2007, apabila merengkok selama tiga minggu dalam penjara Los Angeles kerana melanggar tempoh percubaan berikutan dakwaan memandu dalam keadaan berbahaya.

Gadis berambut perang nipis itu yang merupakan model, penyanyi, pelakon, pereka fesyen dan bintang realiti TV sejak itu menjadi lebih berhati-hati.

Pewaris selebriti itu tiba di Afrika Selatan Khamis lalu, menurut laman Twitternya. Selepas dibebaskan, Hilton mengeluarkan kenyataan di laman itu;

"Hei semua, ada banyak khabar angin gila sedang disebarkan. Hanya nak anda tahu yang sebenar. Semuanya baik, saya tidak didakwa atau ditahan kerana tidak melakukan apa-apa.

"Saya membantu polis dengan siasatan dan menjawab semua soalan mereka. Mereka semua baik dan mesra kepada saya.

"Saya suka Afrika Selatan! Tempat yang menakjubkan, terutama sewaktu Piala Dunia!" - REUTERS

Artikel Berikut

Artikel Lain