VILLERS-AU-TERTRE (Perancis): Pihak berkuasa Perancis telah menahan sepasang suami-isteri di sebuah pekan kecil di Utara negara ini selepas mereka menemui lapan rangka bayi yang baru lahir dalam apa yang disifatkan sebagai kes pembunuhan kanak-kanak terbesar dalam sejarah negara itu.Polis dengan bantuan anjing pengesan telah mengeledah dua buah rumah yang terletak berhampiran di pekan kecil ini berhampiran bandar Lille selepas mereka menahan pasangan berkenaan kedua-duanya dalam lingkungan 40an, Selasa lalu. Seorang ahli majlis perbandaran pekan ini yang enggan dikenali memberitahu agensi berita AFP, segala-galanya bermula apabila penghuni baru semua rumah menghubungi polis Sabtu lalu apabila mereka menemui rangka yang menyerupai bayi di laman rumah mereka ketika sedang mengembur tanah.Rumah itu asalnya milik keluarga wanita yang ditahan polis.Polis kemudiannya menemui dua rangka bayi di rumah berkenaan. Dan hasil siasatan lanjutan telah membawa polis ke rumah pasangan berkenaan yang terletak tidak sampai satu kilometer dari tempat kejadian. Di sana polis telah menemui enam lagi rangka bayi menjadikan kesemuanya lapan rangka ditemui.Isu yang menjadi perbualan ramai sekarang ialah, kedua-dua suami-isteri itu merupakan pasangan yang disegani dan dihormati oleh masyarakat. Malah sisuami terpilih untuk berkhidmat di majlis perbandaran pekan tersebut.Seorang jiran berkata, dia dan kesemua mereka yang mengenali pasangan itu masih lagi terkejut dan enggan mempercayai yang pasangan itu adalah suspek utama kes ini.Bekas Datuk Bandar Villers-au-Tertre, Daniel Collignon memberitahu AFP, sukar untuk mereka menelan fakta yang kedua-dua suami-isteri itu menjadi suspek utama pembunuhan lapan orang kanak-kanak.“Pekan ini adalah sebuah pekan yang aman damai dan jauh dari jenayah. Hanya 700 orang sahaja yang menghuni pekan ini dan kami mengenali semua penghuni pekan ini,” katanya.Jiran-jiran juga menunjukkan reaksi enggan mempercayai akan apa yang telah berlaku."Mereka adalah pasangan yang normal malah bergiat aktif dan menyumbang untuk masyarakat di sini...jika benar ini adalah satu kejadian yang sukar diterima akal," kata salah seorang daripada mereka.Seorang lagi jiran yang enggan dikenali juga memuji pasangan tersebut sebagai pasangan yang suka membantu, bersopan santun dan menghormati orang malah tidak ada satu perbuatan pun yang mereka lakukan yang boleh dikaitkan dengan tingkah laku yang tidak normal.Malah seorang jiran telah merayu kepada pihak media supaya tidak lekas menjatuhkan hukuman dengan memberi gambaran yang pasangan ini adalah pasangan yang kejam dan bersalah.Mereka telah 15 tahun bermastautin di Villers-au-Tertre dan mempunyai dua orang anak perempuan dan beberapa orang cucu.