KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyumbang sebanyak AS$1 juta kepada Pakistan sebagai bantuan kemanusiaan berikutan banjir besar yang melanda beberapa wilayah di negara itu, sejak 22 Julai lepas.Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata, bantuan itu adalah manifestasi keprihatinan dan simpati kerajaan serta rakyat Malaysia terhadap Pakistan di atas kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda akibat banjir tersebut. Katanya Malaysia akan menyalurkan bantuan berkenaan kepada kerajaan Pakistan secepat mungkin."Kerajaan Malaysia berharap bahawa bantuan kemanusiaan berkenaan akan dapat meringankan penderitaan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir di negara itu," katanya.Banjir tersebut adalah yang terburuk pernah dialami Pakistan dalam tempoh 80 tahun, dan setakat ini, ia telah meragut sekurang-kurangnya 1,600 nyawa manakala hampir sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal.Selain itu, kehidupan sekitar 3.5 juta penduduk di beberapa wilayah termasuk Punjab, Balochistan, Gilgit Baltistan dan Kyber Pakhtunkhwa turut terjejas akibat banjir besar berkenaan.Menurut kenyataan itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu serta agensinya seperti Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Program Makanan Sedunia bersama beberapa negara lain, juga memutuskan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Pakistan. -BERNAMA