SINGAPURA: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini meraikan sambutan kemerdekaan ke-53 negara dengan majlis berbuka puasa yang menghidangkan pelbagai juadah tradisi masyarakat Malaysia di sebuah hotel di Pulau Sentosa malam tadi.Lebih 300 tetamu yang terdiri daripada warga diplomat, pegawai kanan kerajaan dan pemimpin tentera hadir pada majlis yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri republik itu Lim Boon Heng. Dalam ucapan alu-aluannya Pesuruhjaya Tinggi Datuk Md Hussin Nayan berkata hubungan Malaysia dan Singapura kini bertambah baik di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak khususnya selepas lawatan beliau ke republik itu pada Mei lepas.Beliau berkata hubungan ekonomi juga semakin baik dengan ahli perniagaan dari kedua-dua negara meningkatkan pelaburan mereka sejajar dengan perkembangan meyakinkan dalam hubungan dua hala Malaysia dan Singapura.Md Hussin berkata ekonomi Malaysia kini semakin memberangsangkan dan berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar pada 6 peratus tahun ini.Malaysia mencatatkan pertumbuhan 0.9 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 10.1 peratus pada suku pertama, hasil permintaan domestik dan luar yang meningkat.Beliau juga berharap hubungan antara rakyat turut bertambah baik serta menggesa masyarakat kedua-dua negara agar sentiasa saling mengunjungi kerana mereka ibarat adik-beradik yang semakin matang selepas lebih 40 tahun berpisah.Dalam ucapannya, Lim berkata kemajuan yang dicapai dalam perhubungan kedua-dua negara itu adalah hasil hubungan erat antara Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Najib.Beliau berkata komuniti perniagaan Singapura juga menikmati manfaat hasil hubungan baik kedua-dua negara dengan meneruskan pelaburan mereka serta melawat Malaysia.Lim juga berkata pada masa kini juga semakin banyak kereta Malaysia berada di jalan raya di republik itu menunjukkan ramai rakyat Malaysia mengunjungi Singapura dan begitu juga sebaliknya. -BERNAMA