suria

Demam K-Pop Melanda Kawasan Terpencil Manipur

IMPHAL, India: Apabila puak pemberontak di negeri pedalaman Manipur mengharamkan filem-filem Bollywood sedekad lalu, mereka tidak menyangka ia akan mencetuskan pengaruh budaya dari sebuah negara terletak 2,000 jauhnya, iaitu Korea.

Di kawasan-kawasan perniagaan di Imphal iaitu ibu negeri Manipur, kedai-kedai dipenuhi dengan cakera video digital (DVD) filem dan drama bersiri dari Korea Selatan dan tidak ketinggalan juga cakera padat (CD) lagu dari penyanyi pop Korea.

Salun-salun rambut pula ditampal gambar-gambar fesyen rambut selebriti Korea yang pelbagai dan popular di kalangan muda mudi di Manipur.

Terdapat juga butik tiga tingkat bernama Gambhir Market yang sesak dikunjungi remaja yang ingin mendapatakan pakaian-pakaian yang berinspirasikan siri televisyen Korea.

Malah mereka juga mula menuturkan beberapa baris ayat berbahasa Korea seperti annyeong-haseyo (apa khabar), kamsahamida (terima kasih) dan sarang-haeyo (Saya mencintaimu) di sekolah-sekolah dan di tempat tumpuan awam.

"Apabila kami pulang ke sekolah berasrama, saya dan rakan-rakan akan berlatih mengucapkan beberapa ayat di dalam bahasa Korea dan sering berbual tentang bagaimanakah agaknya jika kami membesar di negara Korea Selatan," kata seorang murid perempuan Akshaya Longjam, 14.

"Semuanya nampak sangat menyeronokan dan semua orang nampak cantik belaka," kata Akshaya yang merupakan peminat setia kumpulan pop Big Bang dan G-Dragon.

Sekilas pandang, Manipur mungkin kelihatan seperti satu tempat yang tidak dijangka akan menerima fenomena yang digelar "gelombang Korea" yang telah melanda negara China, Jepun dan kebanyakan negara di Asia Tenggara sejak awal dekad lalu.

Sejak tahun 1970an sehinggalah 90an, penduduk Manipur dihiburkan oleh bahan-bahan hiburan Bollywood yang merupakan satu budaya yang sangat berpengaruh di India.

Namun pada tahun 2000, beberapa puak pemisah bersenjata yang berpengaruh di Manipur telah mengharamkan penayangan semua filem dan siaran televisyen Hindi dengan alasan mahu memelihara budaya asli Manipur.

Dengan ugutan akan mengebom panggung wayang yang ingkar di atas larangan tersebut, misi pengharaman yang dilakukan dilihat sangat berjaya dan kekal sehingga ke hari ini.

Syarikat penyiaran yang terdesak telah melancarkan Arirang Tv, satu stesen televisyen berbahasa Inggeris berpangkalan di Seoul yang menyiarkan drama dan rancangan berunsurkan budaya Korea.

KBS World yang menyiarkan drama Korea dengan sarikata bahasa tempatan pula menyebabkan Manipur dilanda gelombang Korea di dalam beberapa bulan shaja sejaak ia mula bersiaran.

Drama bersiri yang memaparkan kisah kekeluargaan amat diminati di negeri konservatif ini dan drama yang berunsurkan cinta pula mempunyai pengikut yang amat ramai dari golongan remaja.

Penduduk Manipur yang mempunyai darah keturunan dari etnik Mongolia, mempunyai rupa paras yang sedikit sama dengan bangsa Korea berbanding bangsa lain di India.

Otojit Kshetrimayum yang merupakan seorang penyelidik dalam bidang sosiologi di Universiti Jawaharlal Nehru di Delhi telah membuat satu penyelidikan tentang fenomena budaya Korea di Manipur.

Di dalam penyelidikannya, Otojit menulis bahawa persamaan budaya di dalam bentuk paras rupa dan nilai kehidupan adalah antara faktor utama budaya Korea diminati di sini. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain