suria

Isu Sempadan: Malaysia Harap Thailand, Kemboja Dapat Capai Persetujuan Segera

KUALA LUMPUR: Malaysia masih berharap Thailand dan Kemboja yang bertelingkah mengenai isu sempadan dapat mencapai persetujuan dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot berkata Malaysia juga berharap Thailand dapat mematuhi perjanjian damai yang ditandatangani pada Februari lepas.

"Ketika mesyuarat di Jakarta pada Februari tahun ini, semua 10 negara (anggota Asean) termasuk Thailand dan Kemboja bersetuju dengan perjanjian itu. Malangnya ia tidak berpanjangan. Kemboja menerimanya, Thailand tidak," katanya kepada pemberita, di sini, Isnin.

Media melaporkan walaupun pemimpin Asean yang hadir pada sidang kemuncak di Jakarta, Indonesia kelmarin dan semalam menggesa kedua-dua negara terbabit mencari penyelesaian, Thailand dan Kemboja tetap enggan berdamai.

Bagaimanapun, menteri luar Thailand dan Kemboja bersetuju untuk duduk berbincang di Jakarta hari ini, dengan Indonesia sebagai perantara.

Mengulas lanjut, Riot berkata beliau juga percaya jika Thailand mematuhi perjanjian damai yang ditandatangani pada Februari itu krisis terkini antara kedua-dua negara terbabit tidak akan berlaku.

Perjanjian damai itu dicemari dengan pertempuran pasukan tentera kedua-dua negara berhampiran kuil purba Preah Vihear pada April, yang mengakibatkan 18 terbunuh manakala ribuan penduduk menjadi pelarian.

Thailand dan Kemboja masing-masing menyalahkan satu sama lain sebagai punca pertempuran itu.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan simposium mengenai belia dan keganasan, Riot berkata golongan belia mudah direkrut pengganas kerana kumpulan itu senang dimanipulasi dan dipengaruhi.

"Golongan muda yang tidak ada rekod polis membolehkan kumpulan pengganas bergerak bebas kerana penglibatan mereka mengurangkan risiko ditangkap berbanding pengganas yang lebih senior.

"Mereka ini juga sering kali diberi tugas yang lebih berbahaya dengan anggapan jika tertangkap mereka akan dikenakan hukuman lebih ringan," katanya.

Simposium empat hari bermula semalam itu disertai 42 perwakilan, dan dianjurkan oleh Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Menangani Keganasan (Searcct), Dana Integrasi Jepun-Asean (Jaif) serta Asean. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain