suria

Taliban Siar Pita Rakaman Tahanan Warga Kanada

KABUL: Pihak Taliban telah menyiarkan satu pita rakaman yang menunjukkan seorang warga Kanada, Colin Rutherford yang diculik di Afghanistan dan menyatakan bahawa Rutherford bakal dibicarakan di salah satu mahkamah di sini.

Kumpulam militan itu memberitahu bahawa mereka menangkap Rutherford di tengah wilayah Ghazni dan menuduhnya sebagai seorang perisik.

Tarikh Colin Rutherford hilang tidak diketahui tetapi pihak kerajaan Kanada mengesahkan perkara ini pada Februari lalu dan mengatakan rakyatnya itu datang ke Afghanistan sebagai seorang pelancong.

Tarikh rakaman sepanjang dua setengah minit itu yang menunjukan Rutherford disoal siasat oleh seseorang juga tidak diketahui.

"Saya dilayan secara berperikemanusiaan," kata Rutherford apabila ditanya tentang layanan yang diterimanya di dalam tahanan.

Rutherford menjawab sebab beliau ke Afghanistan adalah untuk mengetahui dan melihat sejarah, bangunan lama, kawasan yang bersejarah dan tempat ibadah di negara ini.

Dia juga menafikan bahawa dia bekerja untuk kerajaan Kanada.

Di dalam satu e-mel yang dihantar bersama video kepada pihak media pada Ahad, jurucakap Taliban Zabihullah Mujahed menyatakan pihaknya sekali lagi menyeru kerajaan Kanada mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu ini atau tahanan itu akan dibicarakan mereka.

Kementerian Luar Negara Kanada di dalam satu kenyataan mengatakan bahawa negara itu tahu tentang kenyataan video yang dikeluarkan oleh Taliban itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu, Colin Ritherfold, seorang warganegara Kanada hilang di Afghanistan selepas pergi ke negara itu sebagai seorang pelancong.

Kerajaan Kanada sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Afghanistan untuk membantu keluarga tahanan dalam memastikan pembebasannya dengan selamat.-AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain