suria

Gangguan Tenaga Elektrik Sukarkan Penduduk Gaza

SEMENANJUNG GAZA: Masalah bekalan elektrik yang serius menyebabkan sebahagian besar penduduk di sini hanya menikmati kemudahan itu bagi tempoh 16 jam setiap hari.

Tiga sumber yang membekalkan tenaga elektrik ke kawasan seluas 400 kilometer (km) persegi ini nyata tidak mampu menampung keperluan kira-kira 1.5 juta penduduknya, yang semakin meningkat.

Selain bekalan 17 megawat (MW) dari Mesir dan 120 MW dari Israel, kawasan ini turut dibekalkan tenaga oleh loji utama di Gaza yang berkapasiti 140 MW, namun hanya berupaya membekalkan 64 MW berikutan kekurangan bekalan minyak.

Menurut pegawai di loji yang dibina pada 2002 itu, hanya dua generator beroperasi manakala unit ketiga jarang digunakan kerana bekalan minyak yang dihantar oleh Israel tidak mencukupi.

Israel sering bertindak balas menyekat bekalan minyak setiap kali berlaku serangan militan, menyebabkan generator terpaksa ditutup.

Bagi pelajar universiti dan sekolah di sini, mereka menangani isu tersebut dengan menyeludup masuk generator menerusi terowong bawah tanah yang melintasi sempadan Rafah dari Mesir.

Pelajar yang tidak berkemampuan membayar kos generator pula menerangi kediaman mereka dengan lilin dan berusaha menyiapkan tugasan di bawah cahaya yang malap itu.

Tidak kurang pula menggunakan lampu dan pelita yang dibuat sendiri yang sememangnya berbahaya.

"Saya biasanya pulang ke rumah lewat malam kerana mahu menggunakan komputer di universiti. Tenaga elektrik mungkin dipotong di rumah kami, tetapi di universiti ada generator," kata pelajar tahun kedua Bayan Al-Zemali.

Bagi pelajar sekolah menengah yang bakal menduduki peperiksaan pada Julai ini, Hamza Mohseen berkata beliau mengulang kaji bersama rakannya Rayed, sama ada di rumahnya atau kediaman Rayed, bergantung kepada siapa yang ada elektrik.

GAZA "Kami sudah muak dengan keadaan ini. Kalau gunakan generator, bunyi bising mengganggu kami," katanya menambah masalah itu merupakan punca gangguan utama mereka.

Turut terjejas daripada masalah itu ialah loji rawatan sisa kumbahan yang menyebabkan pihak pengurusan terpaksa membuang sisa tanpa dirawat ke laut.

Menurut pihak berkuasa air di Gaza, antara 60 hingga 80 juta liter sisa kumbahan sama ada yang dirawat sebahagian atau langsung tidak dirawat dibuang ke Laut Mediterranean saban hari.

Di Hospital Shifa, petugas di unit rawatan dialisis dan inkubator bayi bukan saja perlu mengawasi pesakit tetapi juga bekalan elektrik yang mungkin terputus tiba-tiba dan boleh mengancam keselamatan pesakit serta bayi pramatang.

Krisis turut menyaksikan operasi kilang-kilang di Gaza digantung sebahagian atau sepenuhnya, seperti syarikat aiskrim Al-Wadeya yang tidak beroperasi sejak pelaksanaan sekatan oleh Israel.

"Kilang kami sudah lumpuh. Empat tahun lepas kami membekalkan produk kami kepada kebanyakan pasar," kata pengarahnya Khaled yang menambah kos menggunakan generator untuk peti sejuk mereka terlalu tinggi, selain kilang juga rosak teruk ketika serangan Israel. - BERNAMA

Artikel Lain