BANDARAYA GAZA: Rakyat Mesir akan mengadakan tunjuk perasaan di sepanjang sempadan dengan Israel untuk membuktikan perpaduan mereka dengan Palestin sempena ulang tahun ke-63 Nakba ketika Israel mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka dan menubuhkan negara Yahudi pada 1948.Rakyat Mesir hari ini berhimpun di Medan Tahreer, tempat diadakan protes terhadap bekas Presiden Hosni Mubarak, sebagai persiapan untuk protes besar-besaran dekat sempadan pada Ahad. Di medan itu, penunjuk perasaan melaungkan slogan "Kami korbankan jiwa dan raga demi Palestin".Menurut pegawai Mesir, pasukan keselamatan akan menghalang para penunjuk perasaan daripada mendekati sempadan untuk mengelakkan pertempuran dengan Israel yang mempunyai sejarah pertikaian dengan Mesir pada 1967 dan 1973.Gerakan Pro-Palestin muncul secara meluas di Mesir selepas rejim Mubarak digulingkan menerusi satu revolusi popular.Jabatan Dalam Negeri Mesir mengeluarkan kenyataan meminta penunjuk perasaan membatalkan rancangan mereka itu demi mengelakkan Mesir daripada berdepan dengan situasi sukar selepas revolusi. Walaupun begitu, kementerian itu menyatakan ia tetap memberi sokongan kuat terhadap rakyat Palestin dan perjuangan mereka.Pada Jumaat, ribuan rakyat Mesir mengerjakan solat subuh di beberapa masjid sebagai sebahagian dari kempen di laman web sosial, Facebook yang meminta orang ramai menyokong Palestin.Ikhwanul Muslimin yang berpegang kepada ideologi yang sama dengan Gerakan Hamas Palestin, menyeru anggota-anggota dan penyokongnya agar menyertai tunjuk perasaan itu. -BERNAMA