KARACHI: Seorang pegawai diplomat Arab Saudi terbunuh dalam satu serangan bersenjata di sini menjadikan ia serangan kedua terhadap kepentingan Arab Saudi di Pakistan dalam masa kurang seminggu, demikian menurut sumber rasmi.Motif serangan tidak dapat dipastikan dan pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada serangan tersebut mempunyai kaitan dengan pembunuhan pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden pada 2 May lalu. Wakil akhbar kedutaan Arab Saudi mengenal pasti mangsa sebagai Hasan Khatani.Menurut polis, mangsa yang bekerja di bahagian keselamatan konsulat memandu kenderaan dengan nombor pendaftaran diplomat sebelum dua individu yang menaiki sebuah motosikal melepaskan tembakan dari seberang jalan.Ketua Polis Karachi, Iqbal Mahmood memberitahu penyerang melepaskan empat tembakan yang mengenai mangsa dan kemudian terus beredar dari tempat kejadian."Mereka datang menaiki motosikal dan melepaskan empat tembakan. Salah satu peluru mengenai kepala mangsa dan beliau mati di tempat kejadian," katanya.Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani pada Isnin mengutuk serangan tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab di atas serangan tersebut."Kami sedang menyiasat sama ada kes ini mempunyai kaitan dengan pembunuhan Osama ataupun kes yang berasingan," kata Pegawai Wilayah Dalam Negeri, Sharfuddin Memon.Di dalam satu serangan jalanan yang berlaku pada Rabu lalu, penyerang melontar dua butir bom tangan ke arah pejabat konsul Arab Saudi yang dan serangan tersebut dianggap pihak berkuasa sebagai satu serangan balas dendam di atas kematian Osama. AFP