suria

17 Bulan Sebelum Pilihan Raya Presiden: Obama Berada Dalam Kedudukan Paling Selesa

WASHINGTON: Ketika Parti Republikan sedang tercari-cari siapakah calon paling sesuai yang sanggup untuk diletakkan sebagai calon menentang Barack Hussein Obama, Presiden Amerika itu nampaknya sedang berada dalam kedudukan yang selesa dan kukuh untuk melancarkan kempen rasminya sebagai penyandang jawatan.

Dan ia akan bermula dengan rekod cemerlang di atas kejayaan menumpaskan musuh nombor satu Amerika - Osama bin Laden pada 2 Mei lalu.

Walaupun pada kacamata kebanyakan negara Islam, rating Obama kelihatan menurun tetapi bagi seluruh rakyat Amerika yang sentiasa merasa terancam dengan serangan pengganas, keupayaan Obama melancarkan serangan dan menumpaskan Osama adalah satu kejayaan luar biasa dan besar.

Walaupun pemulihan ekonomi agak perlahan, Obama sendiri mendapati, dirinya berada dalam kedudukan yang sangat selesa walaupun tarikh pilihan raya adalah 17 bulan dari sekarang.

"Untuk seorang penyandang jawatan, tidak ada permulaan yang lebih baik sebagaimana yang sedang dirasai oleh Obama sekarang apatah lagi memandangkan Parti Republikan tidak berada dalam kekuatan yang sepenuhnya malah masih tercari-cari siapakah yang sanggup berhadapan dengan Obama yang kini dilihat sebagai hero negara," kata pakar sejarah presiden Amerika dari Universiti Princeton, Julian Zelizer.

"Dia (Obama) kini memiliki rekod yang besar. Sama ada suka atau tidak, dia telah mencapai sesuatu. Dan pada pandangan saya, ia adalah sesuatu yang wajar diketengahkan sebagai satu aset dalam kempen yang akan bermula tidak lama lagi," ujarnya.

Gabenor Indiana Mitch Daniels, yang pada mulanya dilihat sebagai calon yang dapat memberi saingan kuat ke atas Obama telah mengumumkan hasratnya untuk menarik diri minggu ini dan dua lagi calon harapan Republikan, Mitt Romney dan Newt Gingrich tidak kelihatan menyakinkan apabila memperkatakan tentang reformasi penjagaan kesihatan yang merupakan isu yang sangat penting kepada rakyat Amerika.

Seorang lagi pakar sejarah pilihan raya presiden, Allan Lichtman, dari Universiti American di Washington melihat, mesej kempen Obama kali ini dijangka akan lebih ringkas dan berterus terang iaitu negara telah mencapai banyak kemajuan di bawah seorang presiden yang mewakili Parti Demokrat, negara juga telah menjadi semakin kukuh berbanding empat tahun lalu, tetapi Demokrat masih ada banyak lagi misi yang perlu dilaksanakan dan ini adalah senarai yang ingin kami lakukan.

Obama telah memulakan kempen mengutip dana untuk partinya dan beliau setakat ini berjaya membantu mengutip lebih AS$14 juta pada bulan lepas - iaitu satu angka yang dua kali ganda lebih besar daripada apa yang berjaya dikutip oleh Republikan.

Satu tinjauan populariti yang dijalankan oleh Fox News mendapati, 57 peratus daripada pengundi berdaftar percaya Obama akan berjaya dipilih semula iaitu satu angka yang dua kali ganda lebih tinggi daripada tinjauan yang dilakukan pada Disember lalu.

Walaupun ramai juga warga Amerika masih ragu-ragu sama ada Obama mampu menangani kemelesetan ekonomi tetapi mereka tetap masih menaruh kepercayaan keatasnya.

Tetapi ada pemerhati yang melihat, untuk menang pada pilihan raya 2012, Obama perlu menjelaskan wawasan yang lebih konkrit untuk masa depan berbanding kempennya yang berkisar kepada "hope and change" (harapan dan perubahan) pada tahun 2008.

"Saya berpendapat, rakyat kali ini akan lebih mengharapkan presiden mereka meletakkan asas yang lebih kukuh ke arah memulihkan ekonomi tetapi pada masa yang sama mereka juga mahu diransangkan dan itu adalah jenama yang selama ini dibawa oleh Obama" kata pakar strategik Parti Demokrat, Doug Hattaway.

Setakat ini kempen awal Obama belum lagi menjurus kepada isu-isu yang spesifik tetapi lebih kepada menjawab serangan lawan ke atas pentadbirannya.

Misalnya, bulan lalu, White House telah mendedahkan secara terperinci sijil kelahiran Obama sebagai menjawab dakwaan personaliti televisyen Donald Trump yang mempertikaikan sama ada benar Obama dilahirkan di Hawaii.

Di bawah perlembagaan Amerika, seorang calon presiden mestilah dilahirkan di Amerika.

Trump yang pada mulanya menunjukkan keghairahan untuk memasuki perlumbaan sebagai calon presiden (Parti Republikan) kemudiannya menjadi ‘sejuk’ dan tidak lagi menyatakan sebarang minat.

Dalam majlis-majlis mengutip dana kempen yang disertainya, Obama telah menegaskan rekod pencapaiannya sebagai presiden selama ini dan menyakinkan para penyokongnya bahawa beliau memerlukan empat tahun lagi untuk menangani isu-isu berkaitan reformasi sistem kesihatan, tenaga dan imigresen.

Tempoh perkhidmatan seorang presiden dihadkan kepada empat tahun sahaja dan dibenarkan untuk bertanding mempertahankan jawatan hanya sekali yang bermakna sekiranya berjaya, seorang presiden akan berkhidmat untuk tempoh selama lapan tahun sahaja di sepanjang kariernya sebagai presiden.

Pada kempen 2008nya, Obama menggunakan tagline "Yes we can" (Ya Kita Boleh) dan kini menukarnya kepada "Yes we did," (Ya Kita Telah Lakukan).

Ramai pakar penjenamaan melihat, sekiranya para pengurus kempen Obama percaya kepada jenama yang mereka sedang promosikan, tidak ada sebab untuk mereka menukar pendekatan tersebut melainkan situasi sangat mendesak untuk membuat penjenamaan semula.

Kempen pilihan raya presiden Amerika adalah berkaitan jenama dan bagaimana jenama itu dijual dan dipromosikan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain