suria

CBI Cari Maklumat Tentang Maxis, Astro

PETALING JAYA: Biro Siasatan Pusat India (CBI) yang sedang menjalankan siasatan berhubung kes dakwaan konspirasi jenayah terhadap urus niaga kontroversi Maxis-Aircel mencari lebih banyak maklumat dari Malaysia mengenai struktur pemilikan Maxis Communications Bhd. (MCB) dan Astro All Asia Networks plc.

Laporan-laporan media India memetik kenyataan seorang pegawai CBI sebagai berkata, “agensi tersebut telah menghantar surat permintaan kehakiman bagi mendapatkan bantuan maklumat daripada Malaysia berkenaan butiran terperinci struktur pemilikan MCB dan maklumat tentang syarikat di bawah kumpulan itu termasuk Astro.

“Ada prosedur undang-undang yang perlu diikuti dan saya tidak boleh mengulas lanjut,” kata pegawai CBI Dharini L. Mishra kepada The Star pada Selasa apabila diminta untuk mengulas mengenai cara CBI mendapatkan maklumat daripada Malaysia.

CBI memerlukan bukti yang kukuh sebelum pemfailan kes itu ke mahkamah.

Siasatan terhadap urus niaga Maxis-Aircel di India yang membabitkan taikun Malaysia T. Ananda Krishnan dan Eksekutif Kanan Maxis, Ralph Marshall mendapat liputan meluas di seluruh dunia.

Pada Isnin, CBI memfailkan kes terhadap bekas Menteri Telekomunikasi India, Dayanidhi Maran, abangnya yang juga seorang pemain industri berpengaruh Kalanidhi, Ananda, Marshall dan tiga syarikat lain menerusi Laporan Maklumat Awal (FIR).

Tiga syarikat tersebut adalah MCB, Astro dan Sun TV milik Kalanidhi.

Selepas memfailkan FIR, CBI menyerbu rumah-rumah agam dan pejabat-pejabat milik adik-beradik Maran itu di Delhi, Chennai dan Hyderabad.

Bagaimanapun, pegawai itu enggan memberikan sebarang komen sama ada adik-beradik itu ditahan ketika serbuan dilakukan.

Siasatan berkenaan merupakan sebahagian daripada proses siasatan menyeluruh oleh CBI terhadap isu perlesenan perkhidmatan lingkungan 2G pada 2008.

Sehingga kini, lebih 12 ahli perniagaan berpengaruh, pegawai kerajaan dan politikus dikatakan terbabit, termasuklah Raja (Menteri Telekomunikasi selepas era Dayanidhi) yang dipaksa untuk meletakkan jawatan pada November 2010.

MCB membeli 74 peratus kepentingan dalam Aircel bernilai AS$800 juta pada Disember 2005 daripada seorang usahawan India, C. Sivasankaran yang didakwa telah dipaksa oleh Dayanidhi untuk menjual syer itu.

CBI ingin memfailkan dakwaan terhadap Dayanidhi, di mana ketika berkhidmat sebagai Menteri Telekomunikasi pada 2004 telah sengaja menangguhkan pemberian lesen-lesen telekomunikasi kepada anak syarikat Aircel, Dishnet Wireless.

MCB bagamainapun menyangkal sekeras-kerasnya sebarang salah laku dan menegaskan bahawa syarikat itu “membayar harga urus niaga seperti yang dipersetuji oleh penjualnya, Sivasankaran.

Artikel Lain