BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra pada Jumaat berkata, keadaan banjir di kota Bangkok adalah terkawal.Beliau mengulas kenyataan Menteri Sains, Plodprasop Suraswadi, semalam yang menyatakan beberapa kawasan di utara Bangkok berisiko ditenggelami air setinggi satu meter ekoran musim monsun, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk di wilayah ini. "Paras air berada tahap stabil dan tidak meningkat, oleh itu saya meminta agar semua penduduk tidak berasa cemas."Suraswadi hanya melaporkan tentang kemungkinan apa yang akan berlaku dan sebagai langkah berjaga-jaga, namun semuanya berada dalam keadaan selamat," kata Yingluck.Sementara itu, penduduk Bangkok mula membanjiri pasar-pasar raya untuk mendapatkan bekalan makanan seperti mi segera dan makanan kering sebagai persiapan menghadapi bencana alam itu, malah ada yang meninggalkan rumah menuju ke kawasan lebih tinggi.Kawasan tengah Bangkok dilindungi tembok banjir dan pihak berkuasa meletakkan guni-guni pasir di sepanjang Sungai Chao Phraya bagi mengelakkan air melimpah ke kawasan berhampiran.Selain itu, parit-parit turut didalamkan bagi menjamin kelancaran pengaliran air.Sekurang-kurangnya 289 penduduk maut, tanaman musnah, beratus-ratus kilang terjejas dan beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal ekoran musim hujan luar biasa di negara ini sejak Julai lalu.Sebanyak 26 daripada 77 wilayah di negara ini terjejas akibat bencana tersebut, namun keadaan di Bangkok dan kebanyakan pusat pelancongan Thailand yang lain berada dalam keadaan terkawal.