suria

Duta Malaysia Yakin Durian Malaysia Dapat Sambutan Baik Di China

BEIJING: Duta besar Malaysia ke China Datuk Iskandar Sarudin yakin durian Malaysia akan mendapat sambutan baik di China.

Beliau berkata hari ini merupakan hari pertama durian sejuk beku Malaysia masuk ke pasaran China secara komersial dan ia telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

"Dari hari ini (15 Okt) sehingga 19 Okt, kita akan memberi layanan istimewa kepada tetamu-tetamu kita untuk merasai dan menikmati durian dari Malaysia," katanya selepas majlis perasmian Pameran Barangan dan Kebudayaan 1Malaysia di Parkson (Taiyanggong) di sini Sabtu.

Untuk mempromosikan durian Malaysia di Beijing, pihak penganjur telah menawarkan bufet durian sepanjang pameran tersebut dari hari ini hingga Rabu depan.

Pembeli dapat membeli tiket bufet durian berharga 150 Yuan (RM74) untuk merasai durian Malaysia dengan sepuas-puasnya.

"Saya berharap durian Malaysia dapat menjadi satu bahan atau komoditi utama di China dan saya dapat tahu semua tiket bufet durian (5,000 tiket) sudah habis dijual," kata Iskandar.

Tentang saingan durian Malaysia dengan durian Thailand di China, beliau berkata "kami berserah kepada konsumer untuk menilai dan menikmati produk masing-masing.

"Saya yakin durian Malaysia akan diterima baik di China."

Berdasarkan tinjauan Bernama, dua jenis durian sejuk beku Malaysia telah mula dijual di Parkson di Beijing iaitu jenis Musang King yang berharga 158 Yuan (RM77) sekotak seberat 400g dan D24 berharga 98 Yuan (RM48) sekotak (400g). - BERNAMA

Artikel Lain