BANGKOK: Ketika ibu negara Thailand ini berdepan dengan ujian sebenar keberkesanan sistem pertahanannya dalam menangani banjir paling buruk di negara ini dalam tempoh lima dekad, maklumat yang dikeluarkan tentang keadaan bencana alam itu, tidak seragam.Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berkata pada keseluruhannya keadaan banjir di sini semakin pulih tetapi Gabenor Bangkok Sukhumbhand Paribatra pula tidak berani mengatakan begitu kerana kemungkinan bencana alam itu menjadi semakin buruk, masih wujud. Yingluck berkata keadaan akan terus bertambah baik setelah air laut pasang tinggi berakhir pada Isnin.Secara keseluruhannya, benteng banjir di bandar raya ini berupaya menyekat limpahan air dari bahagian utara dan tengah Thailand serta kesan daripada air pasang besar sejak dua hari lepas.Walaupun bahagian di utara, timur dan barat Bangkok ditenggelami air, bahagian tengah bandar raya ini tidak mengalaminya, walaupun tugas menyalurkan kira-kira 10 bilion meter padu air banjir ke Teluk Siam menghadapi masalah akibat musim air pasang besar.Yingluck berkata kerajaan juga berjaya mengatasi tindakan penduduk yang cuba meruntuhkan tembok penahan banjir, melalui rundingan.Ada penduduk cuba berbuat demikian kerana mendapati benteng yang dibina itu menyebabkan kawasan mereka ditenggelami air.Sebelum ini, ada petugas Dewan Bandar Raya terpaksa meminta perlindungan daripada polis ketika menjaga benteng berkenaan kerana diancam penduduk, termasuk diugut dengan tembakan amaran.Setakat ini, sistem pertahanan banjir di bandar raya ini berjaya melepasi ujian melebihi paras yang dijangka pihak berkuasa, yang pada mulanya hanya mengharapkan benteng yang dibina itu mampu menangani ancaman banjir di sesuatu tempat, tidaklah sampai mampu menahan kesan limpahan air banjir yang begitu banyak.Bagaimanapun, ada bahagian benteng yang dibina di bahagian utara dan barat Bangkok runtuh dan mengakibatkan banjir.Pada mulanya, kerajaan meramalkan seluruh kawasan Bangkok, yang mempunyai 12 juta penduduk, akan dinaiki air setinggi 0.5 hingga 1.5 meter dalam tempoh ujian selama tiga hari itu.Malah, pihak berkuasa mengisytiharkan cuti khas bagi pejabat kerajaan mulai Khamis hingga hari ini dan meminta penduduk meninggalkan bandar raya ini untuk mengelak menjadi mangsa banjir besar.Yingluck berkata fokus sekarang ialah meneruskan kerja menyalurkan limpahan air banjir ke laut sebelum proses pemulihan dimulakan.Bagaimanapun, Sukhumbhand, yang merupakan anggota pembangkang dari Parti Demokrat, memberi peringatan bahawa beberapa bilion meter padu limpahan air banjir masih mengalir melalui Bangkok menuju ke laut."Pada waktu ini, saya tidak boleh mengumumkan keadaan banjir di Bangkok semakin baik," katanya.Beliau berkata paras air Sungai Chao Phraya hari ini masih setinggi 2.44 meter dan satu lagi air pasang besar dijangka berlaku pada pertengahan bulan depan.Katanya ada bahagian tertentu benteng penghalang banjir di Phra Khanong, berhampiran pusat bandar raya ini yang runtuh, belum dibaiki lagi.Gabenor itu berkata penduduk enam daerah di Bangkok Barat dan Bangkok Timur telah dipindahkan manakala lima lagi daerah berhampiran kawasan tengah Bangkok masih dipantau dengan teliti kerana berkemungkinan dilanda banjir besar.Enam daerah di timur Bangkok yang ditenggelami air sejak dua minggu lepas terus diletakkan di bawah pemantauan Dewan Bandar Raya.Sehingga kini, Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi masih bebas daripada banjir walaupun Lapangan Terbang Don Muang, yang sebahagian besarnya mengendalikan penerbangan domestik, ditutup selama seminggu sejak Selasa lepas, akibat banjir.Kira-kira satu pertiga daripada Thailand masih ditenggelami air, manakala lebih dua juta penduduk di 26 wilayah di utara dan tengah negara ini terjejas oleh banjir yang berlaku secara berperingkat sejak 25 Julai. - BERNAMA