MEDAN: Lebih 2.7 juta pelancong Indonesia dijangka mengunjungi Malaysia tahun ini berbanding hanya 2.5 juta pelancong pada tahun lalu.Pengarah Tourism Malaysia Medan yang juga Konsul Pelancongan Malaysia bagi Sumatera Suhaimi Abu Hasan Ashaari berkata, sehingga Julai tahun ini, 1.2 juta pelancong dari negara berkenaan dicatatkan telah melancong ke Malaysia. "Walaupun keadaan ekonomi global masih belum pulih, namun kita yakin dengan baki tiga bulan yang ada, sasaran tersebut mampu dicapai didorong dengan promosi yang kini giat kita lakukan," katanya kepada Bernama.Menurutnya antara program promosi yang diadakan termasuk pameran Malaysia Year and Holiday bermula pada 7 hingga 13 Nov ini di Plaza Medan Fair yang melibatkan lapan syarikat ejen pelancongan besar di Indonesia dan empat syarikat penerbangan iaitu Air Asia, MAS Srivijaya Air dan Wings Air.Menurutnya, program dan pameran tersebut disasarkan terus kepada pelancong dengan promosi yang menyeluruh menjual produk-produk pelancongan yang ada selain mempromosi tempat menarik di Malaysia."Kebanyakan pelancong dari Indonesia pada masa kini lebih gemar untuk mengunjungi bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang kerana mempunyai kemudahan penerbangan terus selain tempat beli-belah."Sehubungan itu, selain dua tempat berkenaan, Tourism Malaysia di Indonesia khususnya di bahagian Sumatera sedang giat untuk mempromosikan tempat pelancongan lain di negara kita seperti Langkawi, Pahang, Melaka dan Perak," katanya.Pada tahun ini, katanya, usaha giat dilakukan untuk mempromosi tempat-tempat yang menarik di Terengganu, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sabah, manakala pada tahun hadapan pula Perak, Langkawi, Sarawak, Melaka dan Johor akan diketengahkan melalui promosi pelancongan yang diadakan dari semasa ke semasa.Beliau yakin dengan faktor persamaan budaya selain ekonomi yang semakin berkembang di Sumatera serta Acheh, Malaysia berpotensi besar menjadi destinasi pelancongan pilihan bagi rakyat di negara ini. - BERNAMA