CANBERRA: Perdana Menteri. Julia Gillard pada Isnin berkata, misi latihan ketenteraan negara itu di Afghanistan boleh disempurnakan lebih awal daripada sasaran 2014 selepas seorang komander tentera Afghanistan memberitahu sebuah media pasukan tentera tersebut perlu ditarik serta-merta.Ucapan Gillard di Parlimen membayangkan kemungkinan bahawa pengunduran pasukan tentera tersebut boleh dimulakan dalam tempoh tiga tahun yang akan datang. Gillard juga berkata, kerajaan tidak mempunyai jadual waktu untuk tentera Australia mencapai matlamatnya melatih Briged Tentera Kebangsaan Afghanistan untuk mengambil-alih tanggungjawab menjaga keselamatan di wilayah Uruzgan.“Bagaimanapun, dengan perkembangan yang dilihat, ia mungkin akan selesai sebelum akhir 2014,” tambah beliau.Brig. Gen Mohammed Zafar Khan dalam satu temubual yang disiarkan pada Isnin berkata, pasukan tentera Australia selaku mentor kepada tentera Afghanistan perlu pergi dengan serta-merta dan meninggalkan peralatan moden seperti gogal penglihatan malam dan helikopter untuk memindahkan bekalan perubatan.“Tiga tahun adalah jangka masa yang terlalu lama untuk tentera Australia berada di sini,” kata Mohammed Zafar menerusi seorang jurubahasa di pejabatnya di Uruzgan.Seramai 1550 tentera Australia berada di Afghanistan, yang merupakan pasukan kedua terbesar yang disediakan oleh mana-mana negara di luar NATO. -AP