suria

Pakar Jiwa Sahkan Anders Behring Breivik Yang Bunuh 77 Orang Awam Di Oslo Adalah Gila

OSLO: Anders Behring Breivik yang membunuh 77 orang awam yang kebanyakkannya remaja di sebuah kawasan perkhemahan di sini Julai lalu tidak akan dipenjarakan akhirnya setelah pakar sakit jiwa mengesahkannya sebagai seorang gila, demikian menurut para pendakwa, Selasa.

Sebaliknya, pembunuh berusia 32 tahun ini mungkin akan menghabiskan sepanjang hayatnya di hospital mental, kata pendakwaraya Inga Bejer Engh kepada para pemberita di sini.

Beliau membuat pengumuman demikian selepas pakar forensik mengemukakan laporan penilai yang terdiri daripada pakar sakit jiwa yang mengesahkan bahawa pembunuh itu adalah gila.

"Jika kesimpulan laporan itu mengatakan bahawa Breivik adalah gila, pihak pendakwaraya akan mengemukakan permohonan rasmi kepada mahkamah agar dia ditahan dan dirawat di sebuah institusi psikiatris untuk rawatan lanjut," Bejer Engh berkata.

Laporan psikiatrik setebal 243 halaman itu yang masih perlu dinilai oleh pakar forensik terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada mahkamah mendapati Behring Breivik telah membina di dalam dirinya apa yang dipanggil "paranoid schizophrenia" sejak beberapa tahun yang lalu.

Dua orang pakar jiwa yang menjalankan 13 kali temubual selama 36 jam dengan tertuduh telah mendapati, dia berada dalam dunia khayalannya sendiri.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Behring Breivik percaya dia berhak menentukan siapakah yang patut hidup dan siapa yang wajar mati.

Dalam insiden yang mengejutkan seluruh dunia 22 Julai lalu, Behring Breivik pada mulanya meletupkan sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan di hadapan pusat pentadbiran kerajaan pusat di sini, mengorbankan lapan mangsa yang terdiri daripada orang awam.

Selepas itu dia telah bergerak ke sebuah pulau bernama Utoeya, yang terletak 40 kilometer ke utara Oslo yang mana dia telah menyamar sebagai pegawai polis sebelum melepaskan tembakan selama lebih sejam setengah sehingga mengorbankan 69 lagi mangsa - kebanyakkan pelajar sekolah menengah yang menyertai kem musim panas kelolaan parti pemerintah negara itu.

Walaupun Behring Breivik mengaku bertanggungjawab ke atas pembunuh tersebut tetapi dia enggan mengaku bersalah.

Sebaliknya dia mendakwa tindakannya itu adalah sebagai permulaan ke atas peperangan kepada kepelbagaian budaya dan bangsa serta penentangan ke atas "penaklukan Islam di benua Eropah".

Perbicaraannya dijadual bermula mulai 16 April tahun hadapan selama 10 minggu.

Artikel Berikut

11 Maut Dalam Serangan Bom

Artikel Lain