suria

Foto Marilyn, Gaun Gaga Dilelong Di LA

LOS ANGELES: Gaun Lady Gaga, lakaran lukisan John Lennon bersama Yoko Ono dan foto Marilyn Monroe sewaktu muda adalah sebahagian barangan yang dijual pada lelongan LA berjumlah sehingga USD4 juta (RM12.6 juta).

Gaun berstruktur yang digayakan Lady Gaga pada kulit majalah Madame Figaro pada 2001 dijual pada $31,250 (RM98,000), yang pertama seumpamanya dijual menerusi lelongan itu, sementara pistol prop yang digunakan dalam video 'Born This Way' dijual pada $7,680 (RM24,000).

Satu koleksi foto dan negatif milik sah Norma Jean, sebelum beliau dikenali sebagai Marilyn Monroe, dijual pada $352,000 (RM1.1 juta) sempena jualan selama empat hari di Julien's Auctions di Beverly Hills yang berakhir pada Ahad.

Sebuah gitar Irish Falcon Gretsch daripada koleksi peribadi Bono (U2) yang ditandatangani penyanyi itu dengan 'scratch guard' bertulis 'The Goal is Soul' dijual pada $135,300 (RM425,000).

Selain itu memorabilia Beatles seperti jaket John Lennon dan Paul McCartney yang dipakai dalam filem "Help!" mencecah $43,750 (RM137,000) sementara lakaran karikatur oleh Lennon memaparkan beliau dan Ono sewaktu "Bed In" pada 1969 dilelong pada $90,000 (RM283,000).

Seluar dipakai Mick Jagger di atas pentas daripada persembahan lawatan di Eropah awal 1980-an juga dijual pada $7,040 (RM22,111), jaket kulit Elvis Presley pada $16,640 (RM52,000), sepasang but pentas Frank Sinatra pada $5,120 (RM16,000) dan tuksedo Dean Martin dijual pada $20,000 (RM63,000).

Pada masa sama, barangan berkaitan Michael Jackson yang dijual termasuk kaca mata hitam Victory Tour bernilai $7,680 (RM24,000) dan koleksi kostum Jackson 5 yang dipakai pada American Music Awards 1976 berharga $10,240 (RM32,000).

Pada akhir bulan ini, Julien's Auctions dijangka melelong perabot dan barangan peribadi daripada rumah agam Holmby Hills yang merupakan kediaman terakhir mendiang Raja Pop itu dan tempat dia menghembuskan nafas terakhir pada 25 Jun 2009.

Jualan itu termasuk cermin di mana bintang berkenaan menulis "March, April" dan kemudian "May - Full on" - merujuk kepada latihan teruk yang dihadirinya pada awal 2009 bagi siri konsert di London.

Daripada dapur, terdapat papan kapur bersama nota "I (heart) daddy" dan satu lagi "Hugs are for free" sementara jurulelong menemui lilin di mana anak Jackson, Prince mengukir namanya.

Bagaimanapun, lelongan itu yang diadakan beberapa minggu selepas doktor Jackson, Conrad Murray didakwa atas menyebabkan kematian mendiang dan dipenjara selama empat tahun, tidak termasuk kepala katil di mana mendiang menghembuskan nafas terakhir, setelah keluarganya membangkitkan bantahan. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain