Acu pistol....Seorang lelaki mengacukan pistolnya ke arah jurugambar. Pippa Middleton pula sedang duduk di sebelahnya. Foto Ihsan Exposurephotos.comPARIS: Adik ipar Putera William, Pippa Middleton telah mengemparkan England dan Eropah apabila gambarnya sedang bersiar-siar bersama tiga teman lelaki di dalam sebuah kereta yang mana salah seorang daripada mereka mengacukan pistol ke arah jurugambar, telah disiarkan oleh akhbar The Sun UK pada Isnin.Perbuatan mereka itu bukan sahaja dianggap sebagai 'bodoh' dan menyalahi undang-undang malah tidak sensitif dengan situasi di mana Perancis baru-baru ini dikejutkan dengan tindakan pengganas membunuh tiga murid dan empat guru di sebuah sekolah yahudi di Toulouse, selatan negara itu. Pippa dan teman-temannya kini berhadapan dengan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa Perancis.“Menunjuk-nunjuk senjata di tempat awam bukan sahaja suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang tetapi juga suatu perbuatan yang tersangat bodoh,” demikian kata seorang pakar perundangan di Perancis kepada akhbar berkenaan.Pippa dan ketiga-tiga lelaki itu dilihat menaiki sebuah kereta Audi berhud di tengah-tengah bandar ini.Ketika mereka sedang diekori oleh seorang jurugambar, tiba-tiba pemandu kereta itu mengeluarkan sepucuk pistol dan mengacukannya ke arah jurugambar tersebut.Tidak cukup dengan itu, dia kemudiannya menunjuk-nunjukkan senjata tersebut di udara dan kemudian sekali lagi mengacukannya ke arah jurugambar berkenaan.Pippa, 27, adik kepada isteri Putera William Kate, 30, dengan jelas duduk di tempat duduk hadapan kereta itu.Menurut akhbar The Sun lagi, sekiranya benar Pippa turut terlibat bersubahat dengan perbuatan mengacu senjata di tempat awam itu, dia akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.Undang-undang Perancis memperuntukkan tindakan penjara sehingga tujuh tahun ke atas sesiapa yang terlibat mengeluarkan senjata di tempat awam tanpa kebenaran.Malah seandainya senjata itu palsu sekali pun, mereka yang bertanggungjawab menayangkannya untuk tujuan menakut-nakutkan orang ramai di tempat awam, boleh disabitkan hukuman penjara selama dua tahun.Pippa berada di sini pada hujung minggu lalu kerana menghadiri satu majlis.Sementara itu, Pengarang Hal Ehwal Diraja akhbar The Sun, Duncan Larcombe berkata, penglibatan Pippa dalam insiden yang tidak sepatutnya itu akan mengejutkan pihak istana."Sejak kakaknya mengahwini bakal pewaris takhta Great Britain, tahun lalu, Pippa telah menikmati komentar yang positif daripada media massa. Tetapi jika kes ini dibawa ke mahkamah, ia bakal menjejaskan reputasi Putera William," ujar Larcombe.