suria

Toyota Buang 350 Pekerja Di Kilang Melbourne

MELBOURNE: Toyota telah mula membuang 350 pekerja di kilangnya di pinggir bandar Altona, di sini.

Toyota berkata 350 orang yang diberhentikan itu adalah pemberhentian wajib tetapi sebilangan kecil pekerja menawarkan diri untuk dipertimbangkan bagi pemberhentian, demikian lapor Associated Press (AAP).

Menurut angka kesatuan sekerja, 262 pekerja sewenang-wenangnya dibuang dalam masa dua hari dan 88 suka rela menawarkan diri.

Pegawai Kesatuan Sekerja Perkilangan Australia, Charlie Marmara, berkata taktik yang digunakan oleh Toyota, termasuk menggunakan pegawai keselamatan dan memindahkan pekerja dengan van, adalah satu tindakan menindas.

"Bagi saya secara peribadinya, ia adalah sukar, bagi pekerja itu sendiri ia suatu yang amat mengganggu, ramai daripada mereka sekarang tidak pasti tentang nasib mereka di masa depan," katanya kepada pemberita di luar kilang itu pada Isnin.

Marmara berkata sebahagian daripada kakitangan yang dibuang itu telah bekerja dengan Toyota sejak 30 tahun lalu.

Sementara itu jurucakap Toyota, Beck Angel memberitahu AAP bahawa strategi pembuangan pekerja itu bukan suatu tindakan menindas sambil menambah keselamatan telah dipertingkatkan atas permintaan kesatuan sekerja semasa tempoh rundingan 10 minggu. Syarikat itu mendakwa nilai dolar Australia yang tinggi dan penurunan permintaan eksport sebagai punca kepada tindakan pembuangan pekerja ini, yang kali pertama diumumkan pada Januari. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Gempa Bumi Kuat Landa Chile

Artikel Lain