JAKARTA: Kontroversi budaya Mandailing menjadi bertambah buruk apabila sekumpulan penunjuk perasaan bertindak merusuh di luar Malaysia Hall dan melempar sejumlah telur dan batu-batu besar sehingga merosakkan beberapa bahagian bangunan itu di sini, pada Jumaat.Kumpulan NGO Pemuda Pancasila itu, yang sebelumnya membakar bendera Malaysia dan melempar telur ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan selepas solat Jumaat, terus menghala ke Malaysia Hall di Jalan Hos Cokroaminoto, Menteng dan mula bertindak lebih ganas. Di Malaysia Hall, mereka menyerang seorang pengawal keselamatan di situ menyebabkannya cedera ringan, membaling batu besar hingga memecahkan tingkap rumah warden selain merosakkan pintu pagar utama dan mengotorkan tingkap bangunan itu dengan telur yang dilempar.Kumpulan perusuh itu juga merosakkan bumbung bahagian hadapan Malaysia Hall dengan membaling batu.Pengarah Education Malaysia (EM) di sini, Prof Madya Dr Juzhar Jusoh berkata, kejadian di Malaysia Hall itu berlaku pada pukul 1.45 petang Jumaat apabila sekumpulan 50 anggota Pemuda Pancasila mula menyerang dengan melempar batu, kayu dan telur ke bangunan Malaysia Hall.Susulan serangan itu, Pengawal Keselamatan Malaysia Hall Jakarta, Bambang Sukrisno membuat laporan polis.Dalam demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia sebelumnya, kumpulan Pemuda Pancasila yang disertai oleh beberapa kumpulan pelajar lain, yang kesemuanya berjumlah hampir 100 orang berdemonstrasi bagi membantah cadangan Malaysia untuk mengiktiraf tarian Tor-tor dan paluan Gordaang Sembilan sebagai salah satu cabang warisan negara. - BERNAMA