suria

22 Cedera Dalam Insiden Letupan Bom Di Narathiwat

BANGKOK: Dua puluh dua orang termasuk 16 anggota renjer cedera dalam satu serangan bom di Tak Bai, Narathiwat, Selasa.

Ketua Polis Tak Bai Kol Sane Jayasatit berkata sebutir bom buatan sendiri seberat 50kilogram meletup apabila sebuah bas yang membawa 40 anggota renjer dan sebuah lori dengan enam orang awam sedang melalui sebuah jambatan berdekatan lebuh raya di Asia 18 Narathiwat-Sungai Golok di Perawan, Tak Bai, pada kira-kira 11.40 pagi.

Daripada 16 anggota renjer yang cedera, empat daripadanya adalah anggota renjer wanita, katanya.

Beliau berkata bom itu dipasang pada sebuah motosikal yang diletakkan pada hujung jambatan itu dan diletupkan dari jauh menggunakan sebuah walkie-talkie.

"Kumpulan pemberontak Runda Kumpulan Kecil (RKK) melancarkan serangan itu sebagai tindak balas terhadap penahanan salah seorang pemimpin mereka pada 11 Jun." katanya.

Lebih 5,000 orang terbunuh sejak kumpulan disyaki pemisah menggerakkan semula kempen bersenjata mereka untuk menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah selatan iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain