JAKARTA: Seorang pakar kulinari terkemuka Indonesia berkata tidak perlu memperbesar-besarkan isu masakan rendang.William Wongso berkata oleh yang demikian tidak perlu untuk mendaftarkan rendang untuk dipatenkan walaupun masakan itu berasal dari Sumatera Barat. Beliau berkata rakyat Indonesia tidak sepatutnya bimbang yang hak milik warisan makanan itu akan dituntut oleh negara-negara lain, terutamanya Malaysia."Makanan itu tidak perlu dipatenkan. Biar mereka tuntutnya kerana yang jelas penduduk daripada kumpulan etnik Minangkabau dari Sumatera Barat juga telah berhijrah dan menetap di sana," kata Wongso seperti dipetik oleh akhbar berbahasa Inggeris, Jakarta Post, Khamis.Wongso berkata demikian ketika ditemui di Padang, Sumatera Barat, di mana beliau menjadi hakim pada Festival Memasak Rendang Sumatera Barat selama dua hari yang berakhir, Khamis.Pakar kulinari itu memberikan contoh makanan Jepun 'sushi' dan 'sashimi', dan makanan Korea 'galbi', yang tidak pernah dipatenkan."Jepun dan Korea tidak pernah mendaftarkan makanan itu untuk dipatenkan. Mereka sebaliknya berasa gembira jika makanan mereka dinikmati di semua tempat," katanya."Perkara yang paling penting ialah menyebarkan cara yang betul menyediakan rendang di luar Sumatera Barat kerana rasa rendang yang dihidangkan di banyak restoran di luar Indonesia kurang enak, dengan ada yang rasanya berlainan," katanya.Beliau memberikan contoh rendang di Belanda yang rasanya sekan-akan 'semur' (makanan Jawa), yang agak manis.Katanya, rendang di Malaysia juga berbeza dengan di Sumatera Barat kerana ia dipengaruhi oleh makanan India yang banyak menggunakan rempah-ratus India, menggunakan bukan sahaja daging lembu atau kerbau tetapi juga ayam. - BERNAMA