suria

Bekas Menteri Kewangan Jerman Dipilih Untuk Tentang Merkel Bagi Jawatan Canselor

BERLIN: Parti pembangkang Jerman, Parti Sosial Demokrat akan memilih bekas Menteri Kewangan, Peer Steinbrueck untuk bertanding menentang Angela Merkel bagi jawatan Canselor negara itu pada pilihan raya umum tahun hadapan.

Jawatan Canselor adalah menyamai jawatan presiden atau perdana menteri.

Akhbar berpengaruh, Bild, memetik sumber-sumber parti berkenaan sebagai berkata, nama Steinbrueck akan dicalonkan secara rasmi mewakili parti berkenaan oleh ketua Sosial Demokrat, Sigmar Gabriel, Isnin depan.

Pemilihan jawatan Canselor Jerman dijangka berlangsung pada September atau Oktober tahun hadapan. Steinbrueck, 65, menjadi pilihan ramai pucuk pimpinan Sosial Demokrat mengatasi populariti Gabriel dan juga calon pada pemilihan 2009 iaitu Frank-Walter Steinmeier.

Tinjauan semasa mendapati, kepimpinan konservatif Merkel masih lagi menjadi pilihan ramai berbanding Sosial Demokrat dan Merkel dijangka akan terus memenangi jawatan itu untuk penggal ketiga berturut-turut.

Jerman adalah satu-satunya negara di Eropah yang masih berdiri kukuh di sebalik badai kemelesetan ekonomi.

Steinbrueck berkhidmat sebagai menteri kewangan di bawah pentadbiran Merkel ketika penggal pertama pemerintahannya iaitu dari 2005 hingga 2009.

Ketika itu Jerman diperintah oleh kerajaan campuran konservatif dan Sosial Demokrat.

Artikel Lain