BANGKOK: Seorang kanak-kanak berumur 12 tahun terbunuh dan 22 orang yang lain cedera semalam apabila puak pemberontak melancarkan serangan dua butir bom menggunakan pelancar M79 ke atas orang ramai di pekan Bachok, Narathiwat.Ketua polis forensik Narathiwat, Lt Krachan Rakrong berkata pihak pemberontak melancarkan serangan pukul 7.30 malam ketika orang ramai sedang merayakan sambutan tahunan festival pekan Bachok. Katanya, mereka yang cedera terdiri anggota polis, sukarelawan pertahanan dan orang awam."Pemberontak menyerang dari jarak 300 meter berdekatan sebuah balai polis," katanya. Dalam perkembangan lain, dua orang terbunuh dan sembilan lain cedera dalam serangan berasing oleh pemberontak di Narathiwat, Yala dan Pattani antara 8 pagi hingga 12 tengah hari tadi.Lebih 5,000 orang terkorban sejak mereka yang disyaki puak pemisah menggiatkan kembali kempen bersenjata menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan itu, lapan tahun yang lepas. - BERNAMA