suria

Asia, Eropah Mahu Wujudkan Suasana Ekonomi Mampan, Kondusif

BANGKOK: Menteri-menteri Kewangan Asia dan Eropah bermesyuarat di sini pada Isnin dengan harapan dapat mewujudkan satu suasana ekonomi yang kondusif bagi kedua-dua rantau tersebut yang kini diselubungi latar belakang krisis ekonomi Zon Euro.

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Kittiratt Na-Ranong berkata hasil mesyuarat tersebut seharusnya membuahkan penyelesaian atau sekurang-kurangnya mewujudkan suasana kondusif ke arah kedudukan lebih kukuh dan stabil bagi meletakkan semula ekonomi dunia di landasannya menuju kemakmuran dan mampan.

"Ini adalah saat-saat istimewa bagi meneroka bidang-bidang kerjasama untuk meningkatkan bukan sahaja hubungan-hubungan ekonomi dan kebudayaan tetapi juga mewujudkan peluang pelaburan serta pekerjaan bagi kedua-dua rantau itu," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Asia-Eropah (ASEM)ke-10 di sini.

Kittiratt yang juga Menteri Kewangan Thailand berkata, Asia dan Eropah saling berkait rapat dari segi perdagangan dan pelaburan antarabangsa disebabkan krisis yang terjadi boleh mencetuskan huru-hara di sebelah dunia yang lain.

"Kita berharap untuk melihat perdagangan Asia-Eropah tanpa perlindungan yang ketat terutama sekali ketika kini melalui tempoh pergolakan yang sukar, dan kita berharap dapat melihat kedua-dua modal langsung dan portfolio pelaburan, mengalir bebas di Eurasia," katanya.

Kittiratt berkata, kerjasama mereka adalah lebih mustahak lagi daripada sebelum ini dalam keadaan kedudukan ekonomi beberapa negara di zon Euro sedang melalui tempoh kesulitan.

Negara-negara Asia mengeksport hampir AS$1 trilion (RM3.2 trilion) barangan ke Eropah manakala barangan Eropah bernilai AS$600 bilion (RM1.9 trilion) pula diturunkan di pelabuhan-pelabuhan Asia tahun lepas.

Beliau berkata, Asia berharap ia dapat membalas bantuan dan kerjasama yang dihulurkan pemimpin-pemimpin Eropah semasa krisis kewangan Asia pada 1997.

Semasa krisis itu, pemimpin-pemimpin Eropah menunjukkan hasrat yang kukuh untuk membantu negara-negara Asia yang dilanda masalah.

Mesyuarat sehari itu dihadiri wakil-wakil dari 43 buah negara anggota Asia-Eropah, termasuk Malaysia.

Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai. - BERNAMA

Artikel Lain