suria

Bekas Pengarah CIA, Jeneral David Petraeus Dilantik Sebagai Profesor

LOS ANGELES: Bekas Pengarah Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA), Jeneral David Petraeus telah dilantik sebagai profesor oleh University of Southern California (USC).

Petraeus meninggalkan jawatan berprestij sebagai ketua agensi perisikan paling besar dan berpengaruh di dunia itu kurang lebih setahun yang lalu selepas hubungan sulit dengan penulis buku biografinya, Paula Broadwell yang 20 tahun lebih muda daripadanya terbongkar.

Beliau hanya sempat berkhidmat di agensi perisikan itu dari 6 September 2011 hingga 9 November 2012.

Petraeus adalah pemegang ijazah doktor falsafah dalam bidang perhubungan antarabangsa dari Princeton University dan pernah mengajar subjek ekonomi dan perhubungan antarabangsa di Akademi Tentera West Point. Jeneral empat bintang itu menjadi popular setelah diberi mandat untuk mengetuai skuad pengaman Nato di Afghanistan dan Iraq. Beliau telah berkhidmat dalam angkatan tentera Amerika selama 37 tahun.

Malah sebelum skandalnya meletup, Petraeus dilihat sebagai salah seorang pemimpin masa depan yang berpotensi diketengahkan sebagai calon presiden Amerika. Petraeus mengambil alih jawatan pengarah CIA pada tahun 2011 atas cadangan Presiden Barack Obama.

Dalam ucapan pertamanya di majlis yang dianjurkan oleh USC pada Mac lalu di Los Angeles, Petraeus telah secara terbuka memohon maaf di atas kesilapan yang dilakukannya itu dan berazam untuk membina semula hidupnya.

"Kehidupan tidak seharusnya terhenti dengan melakukan satu kesilapan sepertimana yang telah saya lakukan...ia boleh dan harus diteruskan," ujar jeneral itu lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain