suria

PNG Cadang Perkenal Hukuman Tembak Ke Atas Penjenayah

SYDNEY: Papua New Guinea (PNG) telah mencadangkan pengenalan undang-undang jenayah baru yang lebih keras iaitu hukuman tembak sampai mati ke atas para penjenayah yang didapati bersalah melakukan jenayah berat.

Perdana Menteri, Peter O'Neill sebelum ini telah pun menyifatkan jenayah kejam yang sedang bermaharajalela sekarang sedang memusnahkan masa depan negara itu.

Oleh yang demikian kerajaan pimpinannya pada Rabu telah bersetuju untuk membentangkan rang undang-undang baru pada sesi parlimen yang akan bersidang dua minggu lagi untuk membolehkan hukuman yang lebih berat dijatuhkan ke atas penjenayah.

Buat masa ini hukuman mati hanya dikenakan ke atas mereka yang didapati bersalah melakukan jenayah pengkhianatan, melanun dan membunuh tetapi ia tidak pernah dipraktikkan sejak 1954.

Sebuah akhbar tempatan, the Post-Courier melaporkan perkara tersebut baru di peringkat cadangan.

Langkah untuk memperkenalkan hukuman yang lebih berat disuarakan berikut beberapa kejadian jenayah yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ke atas wanita termasuk insiden membakar seorang wanita yang dituduh sebagai ahli sihir dan rogol melibatkan dua wanita warga asing bulan lalu.

Pihak gereja dilaporkan menentang cadangan untuk mewujudkan rang undang-undang baru yang lebih keras dengan Pemimpin Gereja Katolik Port Moresby, John Ribat menegaskan hukuman mati bukanlah jalan penyelesaian ke atas masalah ini.

"Manusia tidak ada hak untuk mengambil nyawa seorang manusia yang lain tetapi manusia mempunyai hak untuk mencuba menjadikan kehidupan seorang manusia yang lain lebih baik," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain