MANILA: Dua warga asing merupakan antara 14 penumpang yang terbunuh apabila sebuah bas pelancong jatuh gaung di kawasan bukit utara Filipina pada Jumaat, kata pihak berkuasa.Bas itu jatuh gaung sedalam 120 meter sewaktu melalui selekoh tajam dalam perjalanan ke kawasan yang terkenal dengan "mayat tergantung", kata satu laporan daripada pejabat pertahanan awam. Tambahnya, seorang lelaki warga Kanada dan seorang wanita Belanda merupakan antara 14 penumpang yang terbunuh.Polis berkata, 32 lagi yang berada di dalam bas berkenaan cedera termasuk seorang lagi wanita Belanda dan pemandu bas.Timbalan Komander Polis Wilayah, Ramir Saculles berkata, pihaknya menemui beberapa mayat bergelimpangan di sepanjang lereng bukit, manakala yang lain tercampak ke sawah padi di kaki bukit.Seorang jurucakap polis tempatan, Davy Vicente Limmong berkata, pihak berkuasa mensyaki sama ada pemandu bas melakukan kesilapan atau bas berkenaan mengalami masalah mekanikal, memandangkan tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan itu dan cuaca juga baik.Bas itu dalam perjalanan menghala ke Bontoc, persinggahan bagi pekan Sagada yang mempunyai pemandangan menarik. - AFP