suria

PM Australia Akui Tak Upaya Halang Toyota Tutup Kilang

SYDNEY: Perdana Menteri Tony Abbott mengakui pada Selasa yang beliau tidak berupaya untuk menghalang Toyota daripada menutup operasi pengeluaran kereta di negara itu menjelang 2017.

Toyota pada Isnin mengumumkan rancangan untuk menutup operasi pengeluaran kilang kereta mereka di Australia dengan alasan kos operasi yang terlalu tinggi ekoran dolar Australia yang semakin kukuh dan permintaan domestik yang tidak memberansangkan.

Keputusan itu bakal menamatkan kehadiran 66 tahun Toyota dalam industri kereta Australia.

Mitsubishi menutup kilang mereka di Australia lima tahun lalu manakala Ford akan turut menutup operasi mereka menjelang 2016 dan gergasi motokar Amerika, General Motors turut mengumumkan Disember lalu yang mereka akan menutup pengeluaran jenama asal Australia, 'Holden' juga pada 2017.

Tindakan gergasi-gergasi kenderaan ini menutup operasi mereka di Australia bakal mencetuskan krisis ekonomi baru jika ia tidak ditangani dengan betul kerana beribu pekerjaan akan turut terjejas.

Adalah dianggarkan 50,000 pekerja akan kehilangan pekerjaan mereka termasuk di bawah sistem vendor dan rantaian bekalan alat ganti dan sebagainya.

"Rakyat Australia akan mengenang kamu sebagai pemimpin yang bertanggungjawab ke atas kematian industri kereta di negara ini," kata pemimpin pembangkang dari Parti Buruh, Bill Shorten kepada Abbott dalam sesi parlimen.

Jurucakap industri Parti Buruh, Kim Carr pula membandingkan apa yang bakal dihadapi oleh rakyat Australia ini sebagai era depresi paling besar sejak 1930an.

"Akan wujud nanti, ramai pekerja kolar biru yang menganggur akibat krisis industri permotoran ini, sesuatu yang belum kita semua pernah saksikan sejak era deprisi dahulu," katanya kepada Radio ABC.

Beliau menambah, akan wujud nanti satu komuniti yang besar yang akan terjejas akibat keputusan yang diambil oleh pengeluar-pengeluar motokar ini nanti.

Sejak merampas semula kuasa dari tangan Parti Buruh dalam pilihan raya hujung tahun lalu, kerajaan konservatif pimpinan Abbot telah mengambil pendekatan yang keras dalam membantu para pemain industri automobil Australia.

Abbott menegaskan, berjuta-juta dolar telah disalurkan kepada industri ini dalam bentuk insentif dan sebagainya tetapi ia tetap tidak mengubah keadaan.

"Ini bukanlah satu situasi di mana kerajaan boleh mencelah masuk pada saat-saat akhir dan menghulurkan AUS$100 juta atau AUS$200 juta dan merayu tolong, tolong, tolonglah kekal di sini," kata Abbott dalam nada menyindir.

Jadi katanya, adalah lebih penting untuk kerajaan memberi fokus kepada industri lain yang menguntungkan.

Toyota mengeluarkan kereta di Australia sejak 1963 dan model paling popular di sini ialah Camry sedan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain