Al-Sisi masih belum mengumumkan pencalonan untuk pemilihan itu tetapi beberapa pembantunya berkata beliau sudah membuat keputusan untuk bertanding dan akan mengumumkan perkara itu dalam tempoh terdekat.
Beliau yang juga menteri pertahanan dan Timbalan Perdana Menteri pertama dalam kabinet sedia ada, perlu meletak jawatan dari kerajaan dan ketenteraan sebelum membuat pengumuman rasmi mengenai pencalonannya.
Kerajaan pimpinan Beblawi dilantik pada Julai selepas Al-Sisi menggulingkan Presiden Mohamed Morsi.
Beblawi memuji prestasi kerajaan tersebut di sebuah stesen televisyen.
"Untuk tempoh enam hingga tujuh bulan, kerajaan mengambil alih tugas dan tanggungjawab... kerajaan tidak menunjukkan sebarang usaha untuk mengeluarkan Mesir dari keadaan yang meruncing.
"Ini bukan masa untuk kepentingan peribadi. Rakyat lebih penting, mengatasi segalanya," kata Beblawi merujuk kepada isu keselamatan dan ekonomi.
Beblawi berkata kerajaan turut melengkapkan fasa pertama dalam rangka yang digariskan pihak berkuasa dengan mengadakan referendum mengenai perlembagaan baharu pada Januari lalu.
Jurucakap kerajaan, Hany Saleh berkata, keputusan itu dibuat kerana 'merasakan pemimpin baharu amat diperlukan'.