VANCOUVER: Penduduk Kanada yang ditemu bual turut berkongsi rasa empati dengan rakyat Malaysia berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang, dua rakyat Kanada turut berada dalam pesawat itu. Nick Stoss, bekas pengarah Cawangan Penyiasatan Udara, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada, berkata beliau dapat menyelami dan memahami perasaan rakyat Malaysia berikutan kritikan teruk pihak media yang menurutnya boleh mengganggu tumpuan dan perhatian terhadap penyiasatan insiden kehilangan pesawat itu. Stoss mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam aspek keselamatan penerbangan dan penyiasatan kemalangan. Beliau juga juruterbang yang merupakan antara perwakilan Kanada terlibat dalam pembangunan standard penyiasatan antarabangsa dan mencadangkan amalan-amalan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). Penerbangan MAS MH370 hilang awal pagi Sabtu semasa membawa 239 penumpang dan anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing. Ia masih belum ditemui disebalik gerakan mencari besar-besaran membabitkan pelbagai negara di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka, dan terbaru di Lautan Hindi. Dalam kalangan penduduk Vancouver pula, bagi mereka yang sebelum ini tidak mengetahui mengenai Malaysia kini sedar mengenai peristiwa sedih dihadapi negara itu dan turut mengikuti dengan dekat perkembangan usaha mencari pesawat itu. Mereka turut berdoa dengan cara mereka sendiri bagi membantu usaha pencarian itu dengan memberikan harapan positif. Apabila disebut Malaysia kepada beberapa orang di jalan-jalan raya di Vancouver, beberapa respons diterima Bernama adalah: "Doa kami bersama-sama mereka." "Oh ya! Adakah mereka telah temui pesawat itu?" "Kali terakhir saya baca, ia masih hilang...." "Apa yang terbaru?" "Bagaimana sebuah pesawat dengan begitu banyak penumpang lenyap begitu sahaja?" "Ia mustahil". "Ya, Malaysia, ia tempat pesawat itu hilang." "Oh! Tolong carinya secepat mungkin." Perdana Menteri Kanada Stephen Harper dalam tweetnya berkata: "Harapan dan doa kami bersama-sama mereka yang terjejas oleh kehilangan pesawat di Malaysia." Warga Kanada Mukesh Mukherjee, 42, dan isterinya, Xiaomo Bai, 37, tersenarai sebagai antara penumpang MH370 yang hilang. Profil facebook Mukherjee menyatakan beliau naib presiden operasi Xcoal Energy and Resources di China dan pejabat utamanya di Latrobe, Pennsylvania, Amerika Syarikat. Mukherjee sedang bercuti dengan isterinya dan daripada gambar-gambar dimuat naik dalam Facebook Xiaomo, mereka bercuti di Vietnam sebelum penerbangan ke Beijing.