suria

Krisis Di Crimea: Rusia Berdepan Protes Dari Seluruh Eropah

Presiden Rusia, Vladimir Putin & Presiden Amerika, Barack Obama
SIMFEROPOL (Ukraine): Kerajaan Crimea secara rasmi akan memohon untuk menyertai Rusia pada Isnin selepas keputusan undian referendum mendapati lebih 95 peratus penduduk semenanjung kontroversi itu memutuskan untuk berpisah dengan Ukraine sekaligus mencetuskan krisis paling getir di Eropah sejak berakhirnya Perang Dingin antara blok barat dan blok komunis.

Keputusan referendum itu tidak disokong dan diiktiraf Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat dan mereka kini bersedia untuk mengenakan sekatan ekonomi serta politik ke atas Moscow.

Kerajaan pusat Ukraine, gagal atau tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang wilayah autonomi Crimea itu daripada bertindak sendirian kerana mereka disokong secara ketenteraan dari Rusia yang terletak bersempadan dengan wilayah itu. 

Majoriti penduduk Crimea adalah terdiri daripada etnik Rusia dengan selebihnya adalah etnik Ukraine dan juga Tartar Muslim.

Seluruh Eropah termasuk AS menuduh Rusia menjadi dalang di sebalik krisis yang menimpa Crimea dan Ukraine buat masa ini. 

Krisis di Crimea ini juga bakal menyaksikan persempadanan di timur Eropah berubah wajah - sesuatu yang kali terakhir disaksikan pada tahun 2008 apabila Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan mereka daripada Serbia.

Kesatuan Eropah dalam kenyataan keras mereka menyifatkan keputusan referendum itu sebagai 'haram dan tidak sah' dan hasilnya tidak boleh diiktiraf.

Menteri-menteri luar Kesatuan Eropah akan bersidang di Brussels Isnin untuk menentukan bentuk tindakan yang bakal mereka syorkan ke atas Rusia yang antara lain termasuklah cadangan pembekuan visa dan aset.

Sebaik sahaja keputusan referendum itu diumumkan, Presiden Barack Obama telah menelefon rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin pada Ahad untuk membantah dengan menegaskan bahawa pengundian itu dibuat dalam keadaan yang tertekan kerana kehadiran tentera Rusia di wilayah itu. 

Obama juga memberitahu Putin yang Amerika dan seluruh dunia tidak akan mengiktiraf keputusan Crimea untuk bergabung dengan Rusia. 

Crimea muncul sebagai pusat krisis terbaru Eropah selepas Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych yang pro-Rusia telah diguling pada 22 Februari lalu dalam satu demostrasi besar-besaran di seluruh Ukraine yang menuntut pentadbirannya supaya lebih cenderung kepada pro-Kesatuan Eropah. 

Kejatuhan Yanukovych yang kini berlindung di Moscow telah mendorong Rusia untuk menggerakkan angkatan bersenjatanya ke semenanjung Crimea yang pro-Moscow memandangkan wilayah itu didiami oleh majoriti etnik Rusia. 

Crimea pada asalnya adalah sebahagian daripada wilayah Rusia sehinggalah ia dihadiahkan kepada Ukraine pada 1954 di atas kesediaan Ukraine menyertai empayar Kesatuan Soviet. 

Kesatuan Soviet ranap pada 1991 dan Ukraine mengisytiharkan kemerdekaan mereka.

Artikel Berikut

Artikel Lain