suria

Nasib MH370, PM Singapura Turut Sedih

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong melahirkan rasa sedih yang amat mendalam apabila mendengar berita mengenai nasib tragik pesawat Malaysia Airlines MH370.

"Lebih dua minggu, kami berharap sesuatu buruk tidak berlaku. Kami tahu betapa marah dan kecewa keluarga dan rakan kepada mereka yang berada di atas pesawat," katanya menerusi Facebook beliau malam Isnin.

"Sementara kita masih belum mengetahui apa yang berlaku, saya berharap berita terbaharu ini akan memberi beberapa ketentuan dan pengakhiran.

"Simpati saya yang amat mendalam dan takziah kepada keluarga dan rakan kepada mereka di atas pesawat, dan kepada kerajaan Malaysia serta China," tambah Lee.

Dalam sidang akhbar malam tadi, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan laluan penerbangan pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Ia yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac menuju Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian.

Pesawat sepatutnya tiba Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Singapura, MH370, MAS

Artikel Lain